"Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikian juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" [Ibrahim : 40]

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata "kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" [al-Ankabut :2]



Sahabatku

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Anniversary tickers

Sabtu, 7 November 2009

bicara air

Saat air berbicara tentang rahmat dariNya
Sejuk
Tenang
Dan mendamaikan
Membuatkan hati para pencinta Jannah
Rindu akan ketenangan syurgawi
Yang di dalamnya ada air sungai yang mengalir

Ahli Jannah itu
Sabar sifatnya
Tenang tuturnya
Murni fikirannya
Teguh Imannya
Murah senyumanya
Memandang wajahnya, sejuk di jiwa

Para perindu syurga Allah
Sentiasa menanti di jendela kerinduan Jannah
Menatap mengalirnya air yang turun dari langit
Sambil basah lisannya berzikir memuji Ilahi
Mengharapkan limpahan Rahmat dariNya
Agar mengalir tenang di jiwa mereka
Sampai syurgaMu

------------------------------------------------------------------

Saat air bicara tentang kedurjanaan manusia
Air berbicara dengan keras
Deras
Memukul
Manusia tenggelam dalam amukkan air
Yang menyampaikan berita kemurkaan Allah
Buat umat manusia yang lupa
Leka dengan syurga duniawi





Saat air berbicara dengan hati
Telus
Meminta jawapan dari dosa dan salah tingkah yang lalu
Air mata menjadi bukti
Menangis di hadapan Allah
Memohon keampunan
Meminta

Merayu
Merayu
Merayu

Ya Ilahi~
Ya Latif~
Ya Rahman~
Ya Rahim~

Jadikanlah hati-hati kami setenang air
Rindukanlah hati-hati kami pada syurga nan abadi
Jauhkanlah hati-hati kami dari badai ombak kesesatan
Agar saat hari kami bertemuMu Ya Ilahi
Lisan kami basah menyebut
Kalimah syahadah

Rabu, 4 November 2009

akhirnya dia temui di mana dirinya

Assalamualaikum w.b.t

Ku panjatkan syukur kepada al-Alim..Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar
Selawat dan salam buat pencinta Allah yang paling setia. Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W
Dan salam ukhuwah buat semua pencinta ilmu.



***Seindah Mutiara***

Pagi itu Nurul Iman bangun seperti biasa, mungkin selepas pagi ini dia akan bangun dengan sesuatu yang baru dia temui pagi itu. Agendanya seperti selalu, membuka komputer ribanya dan membaca beberapa artikel dari beberapa lapangan ilmu di tanah maya ini dan dia meneroka. Nurul Iman terpaku membaca, dalam hatinya sentiasa mencari dirinya yang inginkan kedamaian Islam dan Iman.

Hakikatnya pagi itu Nurul Iman merasai dengan "roh" bahawa ketenangan itu datangnya dari Allah Yang Maha Satu. Allah Subhanahuwataala. Menyuburkan kecintaan kepadaNya dengan mendampingi ilmu. Ya, ilmu!

Akhirnya Nurul Iman temui siapa dirinya yang sudah bertahun-tahun hilang dan terperangkap dalam dirinya sendiri. Nurul Iman dulu adalah seorang yang tegas dan memperjuangkan ilmu. Kekentalan semangatnya yang dahulu itu hasil dari biah yang asalnya menyelimuti biah ilmiah di zaman persekolahannya. Mungkin kerana tidak konsisten, dan hanya bersandar kepada biah itu...maka Nurul Iman sendiri kehilangan harta paling berharga dari Allah, iaitu dirinya sendiri!

Nurul Iman pasti, inilah titik mulanya. Dia perlu kembali ke landasan utama. Menyelongkar segala ilmu untuk lebih mengenal Allah. Menyuburkan Iman dan cintakan mati sebagaimana musuh Islam cintakan kehidupan.

Terkenangkan zaman persekolahan yang indah dan nostalgia, bagaimana dia mempertahankan kecintaannya terhadap ilmu. Nurul Iman tersenyum sendirian. Mana tidaknya, dia berperang dalam diam. Hanya memendamkan dan membenci setiap salahlaku teman-teman terhadap ilmu dengan sekeras-kerasnya. Sayangnya ia hanya di dalam hati, kerana Nurul Iman merupakan gadis pendiam dan hanya bercakap bila ada keperluan ilmiah sahaja. Ketika itu dia tidak pandai bercerita dan berceloteh seperti kebiasaan gadis-gadis remaja seusianya.

Dari sudut itu, dia memang sudah banyak bergerak ke arah yang lebih positif. Kini dia sudah berani melontarkan pendiriannya di khalayak. Tidak lagi hanya memendamkan di dalam hati. Cuma banyak lagi yang perlu dia beri sentuhan penambahbaikkan, selaras dengan kecintaannya terhadap ilmu yang tak akan terpadam lagi selagi nafasnya belum terhenti.

======================================================

***Monolog Seindah Mutiara***


Jangan gentar serikandi Islam
ingin menjadi seindah mutiara perlu ada tangan yang memimpin
jadikan Asiyah sebagai inspirasi
jadikan Saidatina Khadijah kekuatan
jadikan Maryam sumber ketabahan
jadikan Saidatina Aisyah sebagai lubuk ilmu

dan selongkar dan terus menyelongkar
teroka dan terus meneroka
sesungguhnya ilmu itu jambatan iman
menuju pintu-pintu ketenangan syurga hakiki

jangan gentar lagi wahai serikandi!
biar salah, tapi jangan gentar
kerana proses belajar itu perlu tahu apa yang salah apa yang benar

usia dunia sudah semakin dimamah
dan hari kebangkitan sudah semakin mendekat
jangan berlengah lagi
teruskan perjuanganmu wahai serikandi
moga Allah dan Rasul sentiasa kekal dijiwa dan hatimu
jangan pernah sekali-kali padam dan luntur!

semoga damai hatimu wahai serikandi pejuang ilmu
" hargai dirimu seindah mutiara"

Isnin, 2 November 2009

dari hati, untuk muslimah

Assalamualaikum..w.bt
Selawat dan salam buat kekasih Allah.Muhammad Rasullullah.



***Seindah Mutiara***

Petang itu, Nurul Iman menangis lagi. Awalnya, ketika hendak mendail nombor ibu dia sudah nekad untuk mendiamkan sahaja kemelut yang memerangkap jiwanya. Namun, setelah mendengar suara ibu di hujung talian. Dia bingkas diam, tidak mampu mengeluarkan aura cerianya seperti selalu. Apatah lagi bila ibu tanpa bertanya, lalu berpesan.

"Nurul Iman jangan buat keputusan besar dengan terburu-buru ya?,'' kata ibu

"Macam mana ibu tahu apa yang Nurul serabutkan?," soalnya pada ibu walaupun hakikatnya dia tahu jawapan pada persoalan itu. Hati ibu pada anak memang hakikatnya begitu.

Hati Nurul Iman sudah menangis sebenarnya, tapi ditahan-tahan dari terzahir menjadi manik-manik jernih. Hatinya lantas teringatkan Yang Maha Satu. Ya Allah, banyak dosaku padaMu. Tak layak untuk diri ini dikelilingi dan disayangi insan-insan yang mujahid. Kala ini aku cuma hanya ingin merebut cintaMu Ya Rabbi. Air mata Nurul Iman akhirnya kecundang di pipi. Ibu diam, membisu sebelum menyambung kata nasihatnya.

''Ibu rasa, mungkin belum masanya untuk Nurul letakkan hati pada seseorang," jelas ibu.

Cepat-cepat Nurul Iman menyahut. "Tak, ibu....Nurul memang tak berani meletakkan hati ini selain Allah dan Rasul..cukuplah sekali Nurul dah buat silap dulu. Nurul tahu, cinta hanya untuk yang selayaknya. Nurul baru nak pulang ke jalan asal, nak rebut semula cinta nan satu dari Ilahi. Ibu pun tahu kan, sebelum ini Nurul macam mana?"

"Baguslah kalau Nurul tahu, tak apa lah. Sekarang, Nurul cuba tenang ya? Insyaallah, nanti ibu akan bantu Nurul....kita sama-sama cari jalan penyelesaiannya. Cuma ibu harap Nurul akan jadi Nurul yang lebih matang selepas ini" jawab ibu dengan tenang.

Hati Nurul Iman kembali tenang, bersyukur dihatinya kerana Allah kirimkan ibu sebagai syurga dunianya, tempat bermanja dan berteduh dikala suka dan duka.

"Insyallah, terima kasih ibu. Doakan Nurul ya, dan semoga Nurul tenang dan matang menghadapi semua ini. Nurul tak sabar nak jumpa ibu. Nurul sayang ibu, Nurul rindu ibu" balasnya sayu.

"Ibu pun sayang Nurul juga, dah....jangan menangis lagi. Ibu tahu anak ibu kuat." ibunya cuba memujuk, ada nada ketawa di hujung sana.

"Assalamualaikum ibu," Nurul mengakhiri

"Wa'alaikumsalam," Ibu mengakhiri kalam dan memutuskan panggilan.
====================================================================


***Monolog Seindah Mutiara***


Wahai muslimah yang berjiwa solehah
menjadi mukminah itu perlu usaha
dikejar-kejar oleh cinta ajnabi itu bukan tiket ke pintu syurga

pedulikan kata-kata yang cuba menyemarakkan lagi api dari neraka
yang cuba menyanjungmu kerana mereka kagum
melihat ada ramai yang cuba menagih cintamu

Wahai muslimah yang berjiwa solehah
walaupun pernah 1 masa dulu
kau amat ternanti-nantikan hadirnya mujahid
menjemputmu dengan salam izin
untuk sama-sama meraih jalan syurga

namun, jangan kau tenggelam dalam bermacam-macam noda
noda yang hadir bagai sarang ular yang dalam
hanya menanti untuk menyebarkan bisa racun kemaksiatan

Jadikanlah dirimu wahai muslimah yang berjiwa solehah
seperti mutiara
seindah mutiara
biar jauh di dasar lautan
dilindungi cengkerang
namun masih terserlah keindahannya
bersinar di dalam lautan yang penuh cahaya kedamaian

Hanya mujahid yang benar-benar berhati soleh
yang mampu mengambilmu
dari dasar lautan dingin
dia membeku dari memandang wajahmu
dia menjauh dari mendengar suaramu
dia menyelam ke dasar cinta Rabbi
demi mendapat mutiara hati

Semoga damai wahai hati muslimah yang berjiwa solehah,
"hargai dirimu seindah mutiara"
Powered By Blogger