"Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikian juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" [Ibrahim : 40]

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata "kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" [al-Ankabut :2]



Sahabatku

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Anniversary tickers

Selasa, 20 Disember 2011

Pimpinan-Mu yang ku dambakan

Assalamualaikum w.b.t.

Segala puji selayaknya hanya untuk Allah. Subhanallah. Terima kasih Ya Allah, kerana hadirkan cinta-Mu di segenap hati. Bantu hamba, lindungi hamba ini Ya Rabb. Terlalu takutku tergelincir dari jalan-Mu. Pimpinlah hamba agar ISTIQAMAH menyusuri jalan menuju-Mu dengan penuh berhati-hati.

***Seindah Mutiara***

Nurul Iman terpesona membaca sirah-sirah wanita terbilang. Kisah Asiah isteri Firaun yang amat teguh mempertahankan imannya sangat memberi motivasi untuk dirinya. Begitu juga kisah kecekalan Siti Hajar yang amat menakjubkan. Begitu juga kisah bonda-bonda kita, Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah dan bonda-bonda yang lain. Nurul Iman tidak henti-henti memuji Allah. Nurul Iman berbisik di dalam hatinya. Ingin ku menjadi pencinta-Mu yang setia seperti mereka.

Menurut al-Quran dari surah an-Nisa ayat 34, perempuan-perempuan yang saleh adalah mereka yang Qanitah dan Hafizah.

"Maka perempuan-perempuan yang saleh, adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga (mereka)" [an-Nisa : 34]

Nurul Iman sangat berbahagia setiap kali membaca dan menghayati al-Quran di tangannya itu. Tenang jiwanya, terarah matlamat hidupnya. Kerana dia sedar, walau dalam suka mahupun duka Allah sentiasa ada bersama. Walau sebanyak manapun dia kehilangan perkara-perkara atau insan yang disayangi dari sisi, Nurul Iman masih mampu bangun dari terus bersedih kerana cinta Allah sentiasa membuatkan dia kembali bersemangat meneruskan perjuangan kehidupan. 

Muhasabah diri membuatkan dia sedar bahawa dia cuma hamba-Nya. Dia merenung salah satu dari hadith Rasulullah s.a.w yang turut dimuatkan oleh Imam Nawawi di dalam karyanya (Hadith 40). Hadith tersebut merupakan hadith yang ke 27 berkenaan 'Kebaikan dan Dosa'.

Daripada Nawas bin Sim'an ra. meriwayatkan daripada Nabi s.a.w Baginda bersabda : Maksudnya : "Kebaikan adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang mengusik jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya". [Riwayat Ahmad 4/228, al-Bukhari dalam al-Adab no.295 dan Muslim no.2553]

Nurul Iman menangis teresak-esak terkenangkan dosa-dosanya yang banyak. Dia cuba memperbaiki dirinya. Berusaha semaksimum mungkin. Dia sedar mungkin dia akan kehilangan kesayangan-kesayangannya di masa lalu demi meraih cinta Allah. Kerana Nurul Iman percaya bahawa Allah akan menggantikan ia dengan kesayangan-kesayangan yang lebih baik dan diredhai-Nya. Nurul Iman bahagia kerana hatinya cuma mahukan pimpinan Allah untuk menyelamatkannya dari menzalimi diri. Dan Nurul Iman mahu membuktikan apa yang ada di dalam hatinya  itu bukan dusta, maka percakapan dan perbuatannya juga perlu taat pada Allah. Insyaallah. Inni Akhafullah! 





Ahad, 18 Disember 2011

Jangan kau curi hatiku

Mengejar, laju
Berhenti, terperosok di sudut sana
Lelap yang hanya mahu mengelak dari mengungkap
Pabila letih, beralah akhirnya

Kembali mengatur duduk
Pakaian compang camping, fikiran kusut
Paksa menghirup tenang
Ah, sesak yang mencekik jiwa!!!

Bangun, menyuci diri
Berwuduk
Melangkah penuh tawaduk
Menghadap Pencipta
Satu per satu, penuh tertib


Merintih dengan penuh pengharapan
Ya Allah Tolong hamba~
Ya Allah Tolong hamba~
Ya Allah Tolong hamba~
Jangan biar daku kehilangan-Mu
Daku rela kehilangan yang lain
Sesungguhnya hanya Allah yang mampu mencukupi keperluanku

Aku cuma hamba Allah
Diriku milik-Nya
Tubuhku pinjaman dari-Nya
Jiwaku hanya mahukan cinta-Nya
Jalan yang jauh ini ku teruskan hanya menuju-Nya
Aku hanya ingin bertemu-Nya

Jangan rebut dariku
Jangan rampas dariku
Jangan kau curi hatiku
Jangan kau janji ingin setia bersamaku
Jangan! Jangan! Jangan wahai dunia!



Rabu, 14 Disember 2011

Serulah dirimu juga

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji dan puja hanya pada Allah. Subhanallah.

Selawat dan salam buat pemimpin ummat yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w

Alhamdulillah, jantung masih berdegup. Nadi masih lagi berdenyut. Apa khabar iman? Subur? Apa khabar sabar? Masih bertahan? Bagaimana dengan ibadah? Masih istiqamah? Ya Rahman, Ya Rahim. Tetapkanlah iman kami pada jalan-Mu. Himpunkanlah kami dalam kebaikan duniawi dan ukhrawi. Berikanlah petunjuk-Mu, cinta-Mu. Amin.

Alhamdulillah, ketenangan kembali mengisi. Moga musimnya berpanjangan. Amin.

Sangat gerun membaca Riyadhus Salihin pada halaman 125. Terdapat sepotong hadith dan beberapa petikan dari ayat al-Quran.

"Mengapa kamu menyuruh orang lain (untuk mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab, apakah kamu tidak berfikir?". [al-Baqarah:44]

Dan dalam ayat lain, dari surah ash-Shaff Allah menyatakan kebencian-Nya terhadap golongan ini.

"Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan".[ash-Shaff:2-3]


Golongan ini merupakan golongan manusia yang mengajak manusia lain mengamalkan amar ma'ruf nahi mungkar, tetapi tidak melaksanakan seperti apa yang diserukan kepada orang lain. Berkata-kata tetapi tidak dikota T__T

Manakala hadith yang menerangkan keadaan golongan ini adalah,

Dari Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Haritsah ra. berkata: "Saya mendengar Rasullullah s.aw bersabda: " Nanti pada hari kiamat ada seseorang yang didatangkan kemudiaan dilemparkan ke dalam neraka maka keluarlah usus perutnya dan berputar-putar di dalam neraka sebagaimana berputarnya keldai yang sedang berada dalam penggilingan, lantas para penghuni neraka berkumpul seraya berkata: "Wahai Fulan, kenapa kamu seperti itu? Bukankah kamu dulu menyuruh untuk berbuat baik dan melarang dari berbuat mungkar? Ia menjawab: "Benar, saya dulu menyuruh untuk berbuat baik tetapi saya sendiri tidak mengerjakannya; dan saya melarang dari perbuatan mungkar tetapi saya sendiri malah melakukannya". [Riwayat Bukhari dan Muslim].


Sesungguhnya, Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Tetapi hamba-hamba-Nya lah yang menzalimi diri sendiri T___T

Ya Allah, Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, wahai Tuhan Pencipta langit dan bumi, Tuhan segala sesuatu dan yang merajainya. Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang hak kecuali Engkau. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan diriku, syaitan dan balatenteranya, dan aku (berlindung kepada-Mu) dari berbuat kejelekan terhadap diriku atau menyeretnya kepada seorang Muslim". [Riwayat al-Tirmizi dan Abu Dawud]


Amin.

Jumaat, 9 Disember 2011

Setia

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji hanya untuk Allah. Subhanallah.

Selawat dan salam buat Baginda Nabi Muhammad s.a.w

Salam kasih dan salam sayang buat semua yang menyayangi saya kerana Allah. Saya selalu mohon dalam butir doa saya pada-Nya agar Allah menyayangi mereka yang menyayangi saya kerana-Nya dan saya juga mohon agar saya juga menyayangi mereka hanya kerana Allah.

Sejak kebelakangan ini saya kerap sakit. Barangkali kerana cuai menjaga kesihatan, atau kerana terlalu memikirkan perkara-perkara yang masih belum mampu saya selesaikan. Astaghfirullah, lalainya saya. Walhal, sebaik-baik perancang hanyalah Allah Taala. T__T

Dan, dalam lingkungan beberapa hari kebelakangan ini saya juga asyik teringatkan peristiwa-peristiwa lama. Beberapa minggu lepas, saya menyelongkar kotak-kotak buku. Dan secara tidak sengaja, terbaca diari-diari lama saya. Bila saya baca helaian demi helaian barulah saya sedar yang saya ini seorang yang pelupa. Kadang-kadang, ada banyak peristiwa yang langsung saya tidak ingat. Begitu juga dengan mengingati seseorang. Kerap kali saya seakan tidak pernah jumpa seseorang, padahal bila diselidiki rupa-rupanya orang itu pernah belajar sekelas dengan saya.

Tak dapat dinafikan, salah satu sebab mengapa saya masih lagi aktif menulis di Wardah Faqihah ini adalah kerana saya tidak mahu melupakan peristiwa-peristiwa atau insiden-insiden penting dalam hidup saya begitu sahaja. Saya terbayang, bagaimana nanti jika saya lupa pada mereka yang sangat saya cinta dan sayang kerana Allah. Na'uzubillah. Moga Allah jauhkan ia berlaku.

Dan antara sebab lain saya masih lagi SETIA di Wardah Faqihah adalah kerana ingin menghargai insan-insan yang saya cinta kerana Allah melalui penulisan.

Tiba-tiba teringat pertanyaan mak beberapa waktu yang lalu. "Kenapa kakak banyak sangat buku?" Jawab saya, kerana saya suka membaca. Hari ini, baru saya sedar mengapa saya suka membaca. Kerana saya selalu lupa. *Sebak.

Subhanallah, Allah itu Maha Penyayang dan Maha Bijaksana. Al-Quran juga terzahir dalam bentuk kitab yang boleh dibaca. Untuk mereka yang diizinkan-Nya untuk menghafal, ayat al-Quran sudah sebati dalam hafalan mereka. Tapi, buat saya yang punyai keistimewaan yang berbeza, Allah masih izinkan saya membaca kalam-kalam-Nya. Terima kasih Allah. *Sebak.

Saya juga manusia. Jadi, saya juga ada salah dan silap sama ada sengaja mahupun tidak sengaja. Jadi, untuk sesiapa yang mengenali saya sama ada dengan nama sebenar mahupun yang hanya mengenali saya dengan nama Wardah Faqihah ada satu perkara ingin saya nyatakan dari hati untuk kalian. Saya ingin memohon maaf andai saya pernah mengguris hati anda. Jika anda masih sayang saya kerana Allah, saya minta kata nasihat dari anda.

Andai satu masa nanti saya sudah tidak lagi mengenali anda (terutamanya yang mengenali saya dengan nama sebenar), saya pinta janganlah membenci atau menjauhi saya. Dekatilah saya dan katakan anda pernah hadir dalam hidup saya.



Untuk seseorang yang saya masih ingat namanya. Saya ingin menyatakan sesuatu. Melihat kamu, mengingatkan saya pada Allah. Mengenali kamu, seakan saya menyayangi diri sendiri. Bukan matlamat saya untuk memiliki, kerana saya sedar kekurangan diri. Tetapi saya mohon agar Allah menyayangi kamu. kerana itu lebih membahagiakanmu.

Rabu, 7 Disember 2011

Gelora di hati

Matanya memandang ke luar jendela rumah. Terlihat sebuah motosikal usang yang masih elok dan terjaga. Semangatnya kembali membuak. Aku mahu kotakan janji yang ku kata pada diri. Aku mahu belikan sebuah kereta untuk Ayah. Insyaallah, moga Allah memudahkan urusanku. Tiba-tiba Tasnem sebak, air matanya tidak mampu ditahan.

"Tasnem, kamu masih ingat waktu dulu-dulu kamu akan duduk di hadapan. Adik Tariq akan duduk antara Ayah dan Ibu. Kamu masih ingat Tasnem?" Berderai tawa kakak saudaranya itu.

Insiden sebegitu bukanlah asing bagi Tasnem. Setiap kali ada undangan majlis kenduri di kampung, dia terpaksa menumpang kereta pakcik-pakciknya. Jika diikutkan hatinya yang akan terguris dengan kata-kata sindiran setiap kali pulang ke kampung, mahu saja Tasnem menyorok di rumah dan tidak memenuhi apa-apa undangan dari kampung.

Mengalir lagi mutiara jernih itu di pipi Tasnem. Terkenang pula peristiwa ketika dia mahu membawa pulang barang-barangnya dari asrama 12 tahun lepas. Ayah dengan berhati-hati menyusun atur beg dan barang-barang Tasnem di bakul motorsikalnya. Dan sekali lagi dengan penuh cermat Ayah menunggang motorsikal itu menuju ke rumah. Di pertengahan jalan, ada sesuatu yang menghalang. Berterabur beberapa barangan Tasnem di jalan. Air mata Tasnem mengalir lagi. Hatinya berbisik sendiri. Kasihan Ayah.

Pada Tasnem, Ayah tetap hero di hatinya. Meski tidak punya harta yang bertingkat-tingkat, namun Ayah menghantarnya ke sekolah yang baik. Tempat Tasnem mengenal ilmu duniawi dan ukhrawi. Meski tidak punya harta yang menggunung tinggi, namun Ayah menghantarnya belajar hingga ke menara gading. Meski bukan setiap masa tawa terlukis di wajah Ayah, namun kasih sayang Ayah tetap dapat dirasai. Meski Ayah bukan hartawan, namun Ayah seorang dermawan. Ayah Tasnem merupakan seorang penderma darah tetap, jika bekalan darah di hospital sudah berkurangan pihak hospital akan menghubungi Ayah untuk menderma darah. Hatinya berbisik lagi. "Tasnem sayang Ayah! Sayang sangat!".

Namun, gelora di hati hanya mampu disimpan kemas. Dia lebih nekad untuk merealisasikan impian Ayah dan Ibu untuk memperbaiki keadaan rumah mereka yang uzur terlebih dahulu berbanding menyimpan wang untuk peribadinya. Bahagianya andai mampu merealisasikan impian kedua-dua insan tersayang. Padahal, Ayah dan Ibu melarang Tasnem masuk campur urusan kewangan keluarga. Pada mereka, tugas mengurus kewangan keluarga itu di bahu mereka semata-mata.



Ayah dan Ibu Tasnem merupakan dua insan yang sangat cekal dan tabah. Walaupun terdapat segelintir masyarakat yang memandang sinis kesusahan yang dihadapi mereka sekeluarga, namun Ayah dan Ibu Tasnem tetap kuat meneruskan perjuangan demi mencari redha Allah. Namun, masih ramai penghuni masyarakat setempat yang benar-benar mengambil berat keadaan mereka sekeluarga. Moga Allah membalas kebaikan mereka, Insyaallah.

Tasneem, satu nama indah yang meniti di bibir
Dia lemah lembut

Namun hatinya tegas mengatur gerak

Dia sedaya upaya melukis senyuman indah di wajah
Walau hatinya menangis diguris mereka

Selalu Allah memujuk hatinya

Dia kembali ceria

Turquoise warna hatinya

Setenang warna laut, andai tidak dipukul gelombang
murka-Nya










Powered By Blogger