"Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikian juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" [Ibrahim : 40]

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata "kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" [al-Ankabut :2]



Sahabatku

Sabtu, 28 Disember 2013

Suatu Rahsia

15 Disember 2013 M
Langkah baru
Buku baru bab satu
Rona oren menghias halaman


21 Disember 2013 M
Watak ungu muncul melulu
Beredar helaian naskah yang lama
Bertanya mereka termangu-mangu
Terpaku melihat sebaris nama
 
Untungnya aku 
Telahku penuhi ruang dan waktu
15 purnama setia menguatkan hatiku
Tersenyum aku menghurai tumpu

27 Disember 2013 M
Buku baru bab satu
Helaian baru
Rona oren membangkit rasa 

Tatkala berserah pada Yang Kuasa
Terungkai pula suatu rahsia
 Menyuntik insaf di dalam jiwa
Bahawa Allah sentiasa Memerhatikan kita

Subhanallah!



Rabu, 25 Disember 2013

Kini aku

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum w.b.t
Tidakku pasti masih ada yang sudi berkongsi rasa di sini.

Untuk kesekian kalinya...

Aku seperti terdampar. Oh, atau lebih tepatnya sengaja membiarkan diri terdampar di suatu sudut pantai hati. Luas, mencari-cari diri.

Aku cuma aku tatkala rasa itu meresap dan menipu.
Aku cuma aku saat ku percaya kisah dongeng itu menjadi satu.
Aku cuma tinggal aku apabila hari demi hari aku mula merasai bahawa ia cuma angan impi.
Aku cuma kekal disini mendamparkan diri bila aku sedar ia kekal sebagai mimpi.

Ada saja 'kapal-kapal gah' yang berhenti ingin membawaku pergi jauh dari sayu dihati.
Aku kian membisu, membatu.
Tiada lagi harapan yang perluku lakar pada awan itu.
Yang aku tahu pada satu waktu bahawa aku perlu bangun dan berjalan di sepanjang pantai hati ini bertanya-tanyakan isi hati sendiri.

Ya, sehinggakan pada beberapa waktu terpaksaku berlari dengan laju.
Agar airmata ini tidak sempat menitis ke pipi.
Biar ia terbang pergi.
Allah, hanya pada-Mu hamba menyerahkan diri.


Alhamdulillah, Allah hadirkan dia.
Mengapa aku memilih untuk berlayar dengannya?
Tiada jawapan pasti.
Apa yang pasti, aku ingin menemui Allah dengan tenang dan sejahtera.
Hati ini memohon harap pada-Nya agar kami dapat bersatu dalam redha-Nya.
Lantas dengannya jua ku berpimpin di Jannah.
Meski ia bukan mudah.
Namun satu ku tahu bahawa mujahadah itu pahit kerna syurga itu manis. 

Isnin, 30 Julai 2012

5 Bulan Interim

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulilah, syukur ke hadrat Ilahi, masih diberi peluang sekali lagi oleh-Nya untuk bersua dengan bulan indah ini. Ramadhan yang mulia. Sudah begitu lama tak di update blog ini. Selalu singgah, tapi entah ke mana semangat update. Alhamdulilah, setelah berlalu beberapa purnama yang amat genting ini dapat juga memberi khabar pada kalian ^_^.

Teringat pada bulan Januari yang lalu, sahabat baikku mengatakan ada tawaran mengajar (interim) untuknya dan beberapa sahabat terpilih yang lain. Hati sudah pasrah, mungkin bukan rezeki ku untuk berkhidmat sebagai guru interim. Akan ku teruskan khidmatku sebagai guru ganti. Lebih kurang begitulah monolog hati. Tanpa di sangka-sangka pada hari Isnin (9 Januari) kejutan dari-Nya membawa ku ke sebuah sekolah. Berkhidmat di sana sebagai guru Pendidikan Islam berstatus interim. Syukur Alhamdulilah.

Masih segar dalam ingatan, meredah ke sekolah itu menaiki teksi. Sekolahnya indah dan damai. Lokasi atas bukit yang mendamaikan. SMK Buloh Kasap tempat berbakti. Alhamdulillah, permulaan langkah yang begitu berhati-hati dan ku susun rapi membuahkan ukhwah yang sangat indah. Jujur aku jatuh cinta dengan pekerjaan ini. Walau ada saja kerenah anak-anak didik yang menagih perhatian dan kematanganku dalam bertindak. Jujur aku jatuh cinta. 

Kontrak kami berakhir pada bulan Mac. Salam perpisahan telah dihulur. Namun, sekali lagi kejutan dari-Nya buatku dan sahabat interim tercinta Siti Azizah. Kontrak kami dilanjutkan sehingga ke bulan Disember. Ada dua keadaan yang sukar untuk digambarkan pada ketika itu. Pertama, aku sangat bersyukur kerana masih diberi peluang mencurah bakti dan kasih sayang buat anak-anak didik tercinta. Kedua, persoalan dan tanda tanya semakin ligat berlegar di minda lesu ini. Jika diteruskan kontrak, bilakah posting akan berkunjung tiba? 


Minda lesu ini sedikit tewas dengan fikiran-fikiran negatif. Akhirnya, karat mazmumah itu memakan diri. Allah menguji dengan demam malam yang berlarutan sehingga 2 minggu. Bingung mencari solusi. Sudah 2 kali bertandang ke hospital. Ujian darah dan pelbagai ikhtiar telah dilakukan. Alhamdulilah, akhirnya dengan kasih sayang-Nya, Allah memberi jalan kesembuhan. Bagaimana? Dengan menjernihkan karat mazmumah yang bersarang di minda. Alhamdulilah, minda lesu itu kembali segar dan subur dengan cinta-Nya.

Dua bulan berlalu, kini bulan Mei tiba. Kejutan diberikan oleh-Nya untuk ke sekian kalinya. Keputusan penempatan telah diumumkan. (15 Mei) Aku di postingkan ke Negeri di bawah bayu. Sabah! Ia hadiah Hari Guru yang akan paling ku ingat. Alhamdulilah. Dan, bukan seperti yang dijangka...aku dan sahabat-sahabat akan ke sekolah rendah. Berkahwin atau bujang itu bukan lagi kayu ukur. Keputusan perlu dibuat, perbincangan keluarga dan istikharah segera dilaksanakan!

16 Mei yang amat syahdu. Berjuraian air mata. Memandang wajah rakan-rakan sekerja yang sudah ku anggap seperti adik-kakakku sendiri amat  sukar digambarkan perasaannya. Apatah lagi melihat wajah anak-anak didik yang sangat ku cintai. Mereka sangat ku sayangi. Lillahi taala.

Setelah meminta izin dan redha dari mak dan abah, serta berkat keyakinan yang Allah kirimkan telah membawaku terbang ke awan biru buat kali pertama. Dan di sepanjang perjalanan dan penerbangan yang panjang itu (2 jam membawa kepada 7 jam penerbangan) sentiasa terulang doa yang ku lazimi semasa menunggu posting di dalam minda.

 "Ya Tuhanku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkahi, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat" [al-Mu'minun: 29]

Di dalam hati, aku yakin bahawa Allah sedang memberi yang terbaik. Walau terpaksa ku tinggalkan insan-insan yang ku cinta di sana. Demi mencari redha-Nya, di siniku teruskan perjuangan sebuah kehidupan yang sementara.

Bersambung pada entri akan datang.....hehe. Nak tidur dulu. Esok sekolah! ^__^


Selasa, 20 Disember 2011

Pimpinan-Mu yang ku dambakan

Assalamualaikum w.b.t.

Segala puji selayaknya hanya untuk Allah. Subhanallah. Terima kasih Ya Allah, kerana hadirkan cinta-Mu di segenap hati. Bantu hamba, lindungi hamba ini Ya Rabb. Terlalu takutku tergelincir dari jalan-Mu. Pimpinlah hamba agar ISTIQAMAH menyusuri jalan menuju-Mu dengan penuh berhati-hati.

***Seindah Mutiara***

Nurul Iman terpesona membaca sirah-sirah wanita terbilang. Kisah Asiah isteri Firaun yang amat teguh mempertahankan imannya sangat memberi motivasi untuk dirinya. Begitu juga kisah kecekalan Siti Hajar yang amat menakjubkan. Begitu juga kisah bonda-bonda kita, Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah dan bonda-bonda yang lain. Nurul Iman tidak henti-henti memuji Allah. Nurul Iman berbisik di dalam hatinya. Ingin ku menjadi pencinta-Mu yang setia seperti mereka.

Menurut al-Quran dari surah an-Nisa ayat 34, perempuan-perempuan yang saleh adalah mereka yang Qanitah dan Hafizah.

"Maka perempuan-perempuan yang saleh, adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga (mereka)" [an-Nisa : 34]

Nurul Iman sangat berbahagia setiap kali membaca dan menghayati al-Quran di tangannya itu. Tenang jiwanya, terarah matlamat hidupnya. Kerana dia sedar, walau dalam suka mahupun duka Allah sentiasa ada bersama. Walau sebanyak manapun dia kehilangan perkara-perkara atau insan yang disayangi dari sisi, Nurul Iman masih mampu bangun dari terus bersedih kerana cinta Allah sentiasa membuatkan dia kembali bersemangat meneruskan perjuangan kehidupan. 

Muhasabah diri membuatkan dia sedar bahawa dia cuma hamba-Nya. Dia merenung salah satu dari hadith Rasulullah s.a.w yang turut dimuatkan oleh Imam Nawawi di dalam karyanya (Hadith 40). Hadith tersebut merupakan hadith yang ke 27 berkenaan 'Kebaikan dan Dosa'.

Daripada Nawas bin Sim'an ra. meriwayatkan daripada Nabi s.a.w Baginda bersabda : Maksudnya : "Kebaikan adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang mengusik jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya". [Riwayat Ahmad 4/228, al-Bukhari dalam al-Adab no.295 dan Muslim no.2553]

Nurul Iman menangis teresak-esak terkenangkan dosa-dosanya yang banyak. Dia cuba memperbaiki dirinya. Berusaha semaksimum mungkin. Dia sedar mungkin dia akan kehilangan kesayangan-kesayangannya di masa lalu demi meraih cinta Allah. Kerana Nurul Iman percaya bahawa Allah akan menggantikan ia dengan kesayangan-kesayangan yang lebih baik dan diredhai-Nya. Nurul Iman bahagia kerana hatinya cuma mahukan pimpinan Allah untuk menyelamatkannya dari menzalimi diri. Dan Nurul Iman mahu membuktikan apa yang ada di dalam hatinya  itu bukan dusta, maka percakapan dan perbuatannya juga perlu taat pada Allah. Insyaallah. Inni Akhafullah! 





Ahad, 18 Disember 2011

Jangan kau curi hatiku

Mengejar, laju
Berhenti, terperosok di sudut sana
Lelap yang hanya mahu mengelak dari mengungkap
Pabila letih, beralah akhirnya

Kembali mengatur duduk
Pakaian compang camping, fikiran kusut
Paksa menghirup tenang
Ah, sesak yang mencekik jiwa!!!

Bangun, menyuci diri
Berwuduk
Melangkah penuh tawaduk
Menghadap Pencipta
Satu per satu, penuh tertib


Merintih dengan penuh pengharapan
Ya Allah Tolong hamba~
Ya Allah Tolong hamba~
Ya Allah Tolong hamba~
Jangan biar daku kehilangan-Mu
Daku rela kehilangan yang lain
Sesungguhnya hanya Allah yang mampu mencukupi keperluanku

Aku cuma hamba Allah
Diriku milik-Nya
Tubuhku pinjaman dari-Nya
Jiwaku hanya mahukan cinta-Nya
Jalan yang jauh ini ku teruskan hanya menuju-Nya
Aku hanya ingin bertemu-Nya

Jangan rebut dariku
Jangan rampas dariku
Jangan kau curi hatiku
Jangan kau janji ingin setia bersamaku
Jangan! Jangan! Jangan wahai dunia!



Rabu, 14 Disember 2011

Serulah dirimu juga

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji dan puja hanya pada Allah. Subhanallah.

Selawat dan salam buat pemimpin ummat yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w

Alhamdulillah, jantung masih berdegup. Nadi masih lagi berdenyut. Apa khabar iman? Subur? Apa khabar sabar? Masih bertahan? Bagaimana dengan ibadah? Masih istiqamah? Ya Rahman, Ya Rahim. Tetapkanlah iman kami pada jalan-Mu. Himpunkanlah kami dalam kebaikan duniawi dan ukhrawi. Berikanlah petunjuk-Mu, cinta-Mu. Amin.

Alhamdulillah, ketenangan kembali mengisi. Moga musimnya berpanjangan. Amin.

Sangat gerun membaca Riyadhus Salihin pada halaman 125. Terdapat sepotong hadith dan beberapa petikan dari ayat al-Quran.

"Mengapa kamu menyuruh orang lain (untuk mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab, apakah kamu tidak berfikir?". [al-Baqarah:44]

Dan dalam ayat lain, dari surah ash-Shaff Allah menyatakan kebencian-Nya terhadap golongan ini.

"Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan".[ash-Shaff:2-3]


Golongan ini merupakan golongan manusia yang mengajak manusia lain mengamalkan amar ma'ruf nahi mungkar, tetapi tidak melaksanakan seperti apa yang diserukan kepada orang lain. Berkata-kata tetapi tidak dikota T__T

Manakala hadith yang menerangkan keadaan golongan ini adalah,

Dari Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Haritsah ra. berkata: "Saya mendengar Rasullullah s.aw bersabda: " Nanti pada hari kiamat ada seseorang yang didatangkan kemudiaan dilemparkan ke dalam neraka maka keluarlah usus perutnya dan berputar-putar di dalam neraka sebagaimana berputarnya keldai yang sedang berada dalam penggilingan, lantas para penghuni neraka berkumpul seraya berkata: "Wahai Fulan, kenapa kamu seperti itu? Bukankah kamu dulu menyuruh untuk berbuat baik dan melarang dari berbuat mungkar? Ia menjawab: "Benar, saya dulu menyuruh untuk berbuat baik tetapi saya sendiri tidak mengerjakannya; dan saya melarang dari perbuatan mungkar tetapi saya sendiri malah melakukannya". [Riwayat Bukhari dan Muslim].


Sesungguhnya, Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Tetapi hamba-hamba-Nya lah yang menzalimi diri sendiri T___T

Ya Allah, Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, wahai Tuhan Pencipta langit dan bumi, Tuhan segala sesuatu dan yang merajainya. Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang hak kecuali Engkau. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan diriku, syaitan dan balatenteranya, dan aku (berlindung kepada-Mu) dari berbuat kejelekan terhadap diriku atau menyeretnya kepada seorang Muslim". [Riwayat al-Tirmizi dan Abu Dawud]


Amin.

Jumaat, 9 Disember 2011

Setia

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji hanya untuk Allah. Subhanallah.

Selawat dan salam buat Baginda Nabi Muhammad s.a.w

Salam kasih dan salam sayang buat semua yang menyayangi saya kerana Allah. Saya selalu mohon dalam butir doa saya pada-Nya agar Allah menyayangi mereka yang menyayangi saya kerana-Nya dan saya juga mohon agar saya juga menyayangi mereka hanya kerana Allah.

Sejak kebelakangan ini saya kerap sakit. Barangkali kerana cuai menjaga kesihatan, atau kerana terlalu memikirkan perkara-perkara yang masih belum mampu saya selesaikan. Astaghfirullah, lalainya saya. Walhal, sebaik-baik perancang hanyalah Allah Taala. T__T

Dan, dalam lingkungan beberapa hari kebelakangan ini saya juga asyik teringatkan peristiwa-peristiwa lama. Beberapa minggu lepas, saya menyelongkar kotak-kotak buku. Dan secara tidak sengaja, terbaca diari-diari lama saya. Bila saya baca helaian demi helaian barulah saya sedar yang saya ini seorang yang pelupa. Kadang-kadang, ada banyak peristiwa yang langsung saya tidak ingat. Begitu juga dengan mengingati seseorang. Kerap kali saya seakan tidak pernah jumpa seseorang, padahal bila diselidiki rupa-rupanya orang itu pernah belajar sekelas dengan saya.

Tak dapat dinafikan, salah satu sebab mengapa saya masih lagi aktif menulis di Wardah Faqihah ini adalah kerana saya tidak mahu melupakan peristiwa-peristiwa atau insiden-insiden penting dalam hidup saya begitu sahaja. Saya terbayang, bagaimana nanti jika saya lupa pada mereka yang sangat saya cinta dan sayang kerana Allah. Na'uzubillah. Moga Allah jauhkan ia berlaku.

Dan antara sebab lain saya masih lagi SETIA di Wardah Faqihah adalah kerana ingin menghargai insan-insan yang saya cinta kerana Allah melalui penulisan.

Tiba-tiba teringat pertanyaan mak beberapa waktu yang lalu. "Kenapa kakak banyak sangat buku?" Jawab saya, kerana saya suka membaca. Hari ini, baru saya sedar mengapa saya suka membaca. Kerana saya selalu lupa. *Sebak.

Subhanallah, Allah itu Maha Penyayang dan Maha Bijaksana. Al-Quran juga terzahir dalam bentuk kitab yang boleh dibaca. Untuk mereka yang diizinkan-Nya untuk menghafal, ayat al-Quran sudah sebati dalam hafalan mereka. Tapi, buat saya yang punyai keistimewaan yang berbeza, Allah masih izinkan saya membaca kalam-kalam-Nya. Terima kasih Allah. *Sebak.

Saya juga manusia. Jadi, saya juga ada salah dan silap sama ada sengaja mahupun tidak sengaja. Jadi, untuk sesiapa yang mengenali saya sama ada dengan nama sebenar mahupun yang hanya mengenali saya dengan nama Wardah Faqihah ada satu perkara ingin saya nyatakan dari hati untuk kalian. Saya ingin memohon maaf andai saya pernah mengguris hati anda. Jika anda masih sayang saya kerana Allah, saya minta kata nasihat dari anda.

Andai satu masa nanti saya sudah tidak lagi mengenali anda (terutamanya yang mengenali saya dengan nama sebenar), saya pinta janganlah membenci atau menjauhi saya. Dekatilah saya dan katakan anda pernah hadir dalam hidup saya.



Untuk seseorang yang saya masih ingat namanya. Saya ingin menyatakan sesuatu. Melihat kamu, mengingatkan saya pada Allah. Mengenali kamu, seakan saya menyayangi diri sendiri. Bukan matlamat saya untuk memiliki, kerana saya sedar kekurangan diri. Tetapi saya mohon agar Allah menyayangi kamu. kerana itu lebih membahagiakanmu.