"Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikian juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" [Ibrahim : 40]

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata "kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" [al-Ankabut :2]



Sahabatku

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Anniversary tickers

Selasa, 9 Februari 2010

cerpen : kanvas cinta buat Naufal

Sudah hampir sebulan Amni merasa aneh pada dirinya sendiri, sedangkan tiada apa-apa masalah besar yang perlu diselesaikan. Tetapi lagak resah hatinya amat ganjil sekali seperti ada yang tidak kena. Awalnya dia cuba berfikiran positif dengan menyangka ia cuma perkara normal. Namun, hari demi hari yang dilalui kerap meninggalkan tanda tanya di benak fikirannya. Mana tidaknya, dia semakin kerap mendapat gerak hati kemudian selang beberapa minit, jam atau hari ia berlaku persis yang terlintas di hatinya. Kemungkinan besar hanya kebetulan, mungkin juga hanya salah satu dari tipu daya syaitan laknatullah atau sememangnya Allah membuka hijab buat dirinya untuk merasai semua itu. Hanya Allah Yang Maha Tahu, jadi dia cuba memperbanyakkan zikrullah, memerhatikan kebesaran Allah, mengingati mati dan memohon agar di jauhkan dari tipu daya syaitan.

Cuaca sememangnya panas dan terik akhir-akhir ini. Kerap benar dia jatuh sakit seminggu dua ini, kadangkala demam dan sekejap kebah semula kemudian suhu badan meningkat mendadak dengan tiba-tiba. Kadangkala sakit kepala, sakit tekak tapi ditahan-tahan agar dapat meminimumkan kerja-kerja yang terbengkalai. Pelbagai gerak hatinya yang sebelum ini juga telah mula surut dari menagih tanda tanya di benak fikirannya. Dan dia cuba meneruskan setiap hari-harinya seperti biasa dan cuba untuk ceria walaupun kadangkala terpaksa berpura-pura menyembunyikan kesakitan yang mencengkam.

Dalam kebisuan malam yang menemaninya melunaskan beberapa tugasan, ada 1 gerak hati yang lintas di hatinya. Di buang jauh-jauh dari terus menjadi tanda tanya. Namun selang sehari kemudian, Amni tergamam bila dilamar oleh Naufal, kenalan dari temannya. Dia tolak jauh-jauh gerak hatinya yang semalam. Ya, gerak hatinya yang semalam itu mengatakan bahawa jodohnya sudah dekat! Dan dia mengambil keputusan yang lebih meyakinkan iaitu menerusi jambatan istikharah untuk menjawab lamaran itu.


Doa Istikharah

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepadaMu dengan ilmuMu, memohon ketetapan dengan kekusaanMu, dan aku memohon kurniaanMu yang sangat Agung kerana sesungguhnya Kau berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa sama sekali, Kau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Kau mengetahui urusan ini .................................... lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku. Baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang, maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika Kau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku. Baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang, maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut."




Hati Amni berbunga-bunga tatkala istikaharahnya kali ini memberikan sebuah jawapan yang berbeza dari yang sebelumnya. Buat pertama kali petunjuk istikharahnya meyakinkan hati untuk menerima sebuah lamaran. Sebelum ini, sudah 2 kali dia menghadapi lamaran sebegini, dia yakin istikaharah sahaja jambatan kepada semua dilemanya untuk memberi jawapan balas buat setiap lamaran itu. Dia menolak kedua-dua lamaran yang sebelum itu dengan sebaik mungkin. Tapi kali ini? Dia sendiri langsung tidak menyangka kembara hatinya berhenti pada pemuda itu. Sememangnya dia kurang mengenali persis gerak gaya pemuda yang bernama Naufal. Tetapi menurut teman yang menjadi perantara, Naufal seorang pemuda yang bertanggungjawab dan matang dalam bertindak. Temannya itu turut menambah, bahawa Naufal seorang pemuda yang menjaga agama juga terkenal dengan akrabnya terhadap ilmu.

Dia duduk merenung redup sang langit petang dari sisi kerusi belajarnya. Hatinya lantas berbicara, benarkah sudah tiba masa untuk semua itu? Tapi dia sendiri belum pasti. Andai dia memberi jawapan, adakah dia sudah bersedia untuk semua fasa baru itu? Dia membiarkan fikirannya berehat sebentar dari mencari sebuah kepastian. Dia hanya mahu menjamu matanya dengan redup langit petang agar lebih rasional membuat penilaian. Dia yakin sememangnya Naufal orangnya.

Namun Amni membulatkan tekad untuk meminta Naufal berjumpa sendiri ibu bapanya tanpa memberikan jawapan pasti buat Naufal. Biarlah Naufal kenal keluarganya dan meminta izin dari ibu bapanya. Dia tidak mahu membuat sebarang keputusan tanpa mendahulukan izin dari ibu bapanya. Buat pertama kali dia melihat sendiri kewujudan Naufal, iaitu ketika Naufal datang ke rumahnya untuk mengotakan janjinya buat Amni. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Ibu bapa Amni menerima hajat kehadiran Naufal dengan hati yang terbuka. Tanda hubungan antara Amni dan Naufal di restui, seminggu kemudian Naufal menghantar rombongan merisik dan menetapkan tarikh pertunangan.

Amni tersenyum melihat sepasang kurung satin berona merah jambu tergantung kemas di almari. Baju itulah yang akan menemaninya esok sepanjang berlangsung majlis pertunangannya. Dia tidak menyangka sepantas ini waktu berlalu. Beberapa sahabat dan sanak saudara yang sudi hadir tidak pernah sunyi malah tetap setia mencetuskan suasana ceria di segenap ruang. Kemuncak majlis akhirnya tiba jua, menambahkan debaran di hati Amni. Cincin di sarungkan tanda sebuah permulaan ikatan janji. Dia cuba mengangkat mukanya dari tertunduk malu, namun dia merasa amat berat.

**********

Dia membuka mata perlahan-lahan. Terasa seperti mata dan seluruh tubuhnya kebas.

"Alhamdulillah, syukur. Bangun juga akhirnya anak ibu. Ibu rindu Najla, rindu sangat. Janganlah tidur lama-lama lagi" rayu ibu padanya.

" Ibu, siapa Najla bu? Ni Amni la, anak ibu. Tak kan ibu tak kenal anak ibu? Soal Amni kehairanan.

" Tidak sayang, nama anak ibu bukan Amni. Tapi Nur Najla. Siapa Amni? Kawan Najla ke?" Ibunya memperbetulkan dakwaan Najla. Dan Najla semakin bingung.

Puan Maznah menceritakan satu persatu apa yang terjadi pada dirinya. Terdiam Najla mendengar kronologi cerita tentang dirinya sendiri. Barulah dia faham, rupa-rupanya sudah sebulan dia terlantar di hospital! Dalam perjalanan pulang dari sebuah program anjuran kolejnya, dia terlibat dalam sebuah kemalangan ngeri yang menyebabkan bas yang di naiki bersama teman-temannya menjunam ke dalam gaung. Dua darinya telah terkorban, salah seorang adalah pemandu bas itu sendiri dan seorang lagi adalah kenalannya dari fakulti ekonomi. Manakala yang lainnya ramai yang cedera parah, dan dirinya sendiri telah koma selama sebulan! Kaki kanannya patah!

Walaupun berada dalam kondisi yang agak kritikal dan kesembuhan mungkin memakan masa beberapa bulan, namun harapan untuk sembuh tetap ada. Najla tidak cepat putus asa atas kepayahan yang sedang dialaminya kini, oleh itu dia tetap melaksanakan solat dengan memanfaatkan rukhsah yang telah disediakan Allah buat hambaNya. Begitulah Najla, seorang gadis yang benar-benar mengangkat Islam dalam hati dan jiwanya.

Usai melaksanakan solat subuh Najla cuba menenangkan dirinya. Dia menutup rapat matanya, menghirup udara pagi yang mencuri masuk dari celahan tingkap yang sedikit terbuka. Dia menerima ketentuan dari Allah dengan redha dan berlapang dada. Mana mungkin Allah menjadikan sesuatu dengan sia-sia, pasti ada hikmah di setiap sesuatu. Lantas dia teringat petikan dari surah Al-Baqarah.


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang di usahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa) : " Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak sanggup memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir". (Al-Baqarah : 286)


Cuma yang menjadi persoalan yang berlegar-legar di fikirannya adalah, siapa Amni? Dia merasakan amat dekat dengannya. Sehinggakan dia merasa seolah-olah Amni itu dirinya sendiri. Namun bila dia penat meneka siapa Amni, tiba-tiba terbayang di skrin mindanya berkaitan Naufal yang hadir di dalam lenanya semasa koma itu. Seperti Amni, Naufal juga tidak dikenalinya. Najla tersenyum.

"Bagaimana keadaan kamu hari ini?". Suara seorang lelaki memecah lamunannya.

Najla membuka matanya perlahan untuk menjawab pertanyaan doktor bertugas pagi itu. Terkejut Najla bukan kepalang, bila melihat tanda nama yang tertera pada baju doktor yang berada di hadapannya tika itu. Naufal? Bisik hatinya.

"Alhamdulillah. Saya rasa segar Dr., walaupun saya belum boleh bangun dari katil ni, tapi saya yakin esok saya dah boleh berlari macam orang lain!". Najla cuba berjenaka dengan nada penuh semangat.

"Baguslah kalau kamu bersemangat untuk cepat sembuh, teruskan berusaha dan bersemangat macam ni ya. Rajin-rajin makan ubat, rajin-rajin dengar cakap jururawat. Insyaallah, semoga Allah permudahkan urusan kamu dan saya doakan kamu cepat sembuh". Dr. Naufal terus menyuntik semangat kepada pesakitnya.

"Oh, makan ubat dan dengar cakap jururawat je? Kalau macam tu cakap Dr. saya tak perlu rajin dengar ya?". Najla cuba memecahkan suasana sunyi dan menghiburkan hatinya. Dr. Naufal hanya tersenyum.

*********

Najla sedang bersungguh-sungguh menjalani sesi fisioterapinya. 5 bulan sudah berlalu, pagi itu seperti biasa ibunya setia menemani dia menjalani sesi yang telah dijadualkan untuknya. Selesai sesi hari itu, ibunya datang merapatinya dan berbisik tentang sesuatu yang benar-benar membuatkan jantungnya berdegup kuat.

"Dr. Naufal? Ibu jangan bergurau lah dengan Najla. Mustahil lah! Tak kan lah dia tak tahu keadaan Najla? Hendak berjalan pun Najla tak mampu. Apa lagi nak menunaikan tanggungjawab seberat itu?" Najla memprotes apa yang dibisikkan ibunya sebentar tadi.

"Entah la, ibu pun ada tanya pada dia tentang itu. Tapi dia kata dengan ibu dan ayah yang dia yakin dengan keputusan yang dia ambil ni. Dan dia takkan berganjak kalau Najla menggunakan itu sebagai alasan Najla menolak lamarannya". Tambah Pn. Maznah.

Setelah beberapa minggu dia mempertimbangkan hasrat Dr. Naufal dan mengambil kira semua buruk dan baiknya keputusan yang bakal diambil, Najla yakin untuk menerima lamaran Dr. Naufal untuk menjadi permaisuri hatinya. Dia berserah kepada Allah. Majlis pernikahan Naufal dan Najla diadakan sederhana namun cukup meriah. Najla amat manis dan berseri-seri mengenakan sepasang jubah dan tudung labuh putih berkain satin serta turut mengenakan sehelai selendang silver pada majlis itu. Walaupun Najla hanya mampu duduk di kerusi roda pada hari bahagianya, namun kehadiran seorang insan bernama Naufal di sisi sebagai suami yang amat memahami dan menyayangi dirinya seadanya membuatkan Najla tidak merasakan kecacatannya itu satu penghalang untuknya merasa bahagia.

Dia ingin menjadi isteri yang solehah dan membahagiakan hati suami. Dia tidak akan sekali-kali membawa apa-apa kesedihan mengganggu gugat setianya pada tulus cinta seorang insan bernama Naufal. Pernah juga dia bertanya pada suaminya itu mengapa begitu yakin memilihnya sebagai isteri.

Dengan tenang, Naufal menjawab. "Cinta Najla buat abang singgah dalam keyakinan sujud abang pada Pencipta segala Kebahagiaan. Abang selalu minta dari Allah seorang isteri yang baik, solehah, penyejuk mata dan mendamaikan hati. Alhamdulillah, Abang tak sangka rupa-rupanya Allah beri lebih baik dari yang Abang minta". Najla tersenyum bahagia. Ya Allah, sungguh Kau Maha Pengasih dan Penyayang. Subhanallah!

**********

Saat-saat melahirkan permata hati semakin mendebarkan seisi keluarga. Najla dan Naufal memastikan persiapan menyambut si kecil hanya sederhana dan tiada pembaziran. Apa yang penting ialah Najla dan bayinya selamat dan sihat. Namun, Najla banyak mendiamkan diri semenjak dia mendapat 1 gerak hati yang meresahkan dirinya. Namun, cepat-cepat dia padam semua tanggapan-tanggapan negatif yang bersarang di minda.

Petang itu, dia di bawa ke hospital kerana si kecil sudah tidak sabar ingin melihat dunia. Dia di bawa masuk dan berbaring pada sebuah katil. Dia pandang ke kanannya, suaminya Naufal masih setia di sisi. Dia menghadiahkan senyuman buat Naufal. Namun wajah cemas Naufal hanya mampu membalas senyuman Najla dengan berbalut resah. Di kirinya dia melihat ada jururawat yang lengkap berseragam merah jambu menguruskan keperluan dirinya sebagai pesakit baru di situ. Najla pasrah kepada Allah sepenuh hatinya, sudah tiba masanya.


**********

Naufal menyelak satu persatu helaian diari arwah isteri tercinta. Dia tahu arwah isterinya itu gemar menulis diari semenjak selepas dia sedar dari kemalangan yang berlaku 2 tahun lepas. Naufal menghabiskan beberapa hari menjamah rasa dari setiap isi luahan bicara hati diari isterinya. Merah muka Naufal menahan sebak membaca catatan Najla berkaitan pengalamannya ketika koma. Sebaknya tambah ditahan-tahan bila membaca bait-bait luahan bahagia Najla semasa menjadi isteri Naufal dan kebahagiaannya menerima kehadiran si kecil yang bergerak aktif di dalam rahimnya.

Pada catatan terakhir, Najla ada menukilkan hasratnya tentang kelahiran yang bakal memeriahkan seisi keluarga. Jika dia selamat melahirkan bayi perempuan, dia berhasrat ingin meletakkan nama si kecil itu, Amni. Nur Amni Binti Naufal. "Cahaya Ketenanganku". Saat itu, Naufal sudah tidak mampu menyekat air matanya dari tumpah. Semoga tenang di sana sayangku.


Doa Untuk Kesedihan Yang Mendalam

لا اله الا الله العظيم الحليم, لا اله الا الله رب العرش العظيم, لا اله لا الله رب السماوات ورب الارض ورب العرش الكريم

"Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Agung dan Maha Pengampun. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Tuhan yang menguasai arasy, yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Tuhan yang menguasai langit dan bumi. Tuhan Yang menguasai arasy, lagi Maha Mulia". -riwayat al-bukhari 7/154, muslim 4/2092-


p/s: Saja merapu.huhu. Maaf sangat sebab tidak memenuhi ciri sebuah penulisan yang baik. Maaf andai ada yang membaca sehingga habis kemudian rasa nak protes.hehe. Maaf juga sebab saya telah mencuri masa anda (^_^) ok, nak sambung buat assignment! yea...tinggal 3 hari nak balik, tapi saya fever again. Doakan saya cepat sembuh ya. (^_^)

2 ulasan:

~ 'aFiNiEy aHmAd ~ berkata...

salamun alayk, cerpen yg amat menarik..mabrukk!!! teruskan bertinta..barakallahu fiki..=)

Wardah Faqihah berkata...

wlkmslm

syukran kerana sudi membaca (^_^)

ini cerpen pertama yang sy usahakan sampai ke akhir cerita...(^_^)

Powered By Blogger