"Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikian juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" [Ibrahim : 40]

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata "kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" [al-Ankabut :2]



Sahabatku

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Anniversary tickers
Memaparkan catatan dengan label ***seindah mutiara***. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ***seindah mutiara***. Papar semua catatan

Selasa, 20 Disember 2011

Pimpinan-Mu yang ku dambakan

Assalamualaikum w.b.t.

Segala puji selayaknya hanya untuk Allah. Subhanallah. Terima kasih Ya Allah, kerana hadirkan cinta-Mu di segenap hati. Bantu hamba, lindungi hamba ini Ya Rabb. Terlalu takutku tergelincir dari jalan-Mu. Pimpinlah hamba agar ISTIQAMAH menyusuri jalan menuju-Mu dengan penuh berhati-hati.

***Seindah Mutiara***

Nurul Iman terpesona membaca sirah-sirah wanita terbilang. Kisah Asiah isteri Firaun yang amat teguh mempertahankan imannya sangat memberi motivasi untuk dirinya. Begitu juga kisah kecekalan Siti Hajar yang amat menakjubkan. Begitu juga kisah bonda-bonda kita, Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah dan bonda-bonda yang lain. Nurul Iman tidak henti-henti memuji Allah. Nurul Iman berbisik di dalam hatinya. Ingin ku menjadi pencinta-Mu yang setia seperti mereka.

Menurut al-Quran dari surah an-Nisa ayat 34, perempuan-perempuan yang saleh adalah mereka yang Qanitah dan Hafizah.

"Maka perempuan-perempuan yang saleh, adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga (mereka)" [an-Nisa : 34]

Nurul Iman sangat berbahagia setiap kali membaca dan menghayati al-Quran di tangannya itu. Tenang jiwanya, terarah matlamat hidupnya. Kerana dia sedar, walau dalam suka mahupun duka Allah sentiasa ada bersama. Walau sebanyak manapun dia kehilangan perkara-perkara atau insan yang disayangi dari sisi, Nurul Iman masih mampu bangun dari terus bersedih kerana cinta Allah sentiasa membuatkan dia kembali bersemangat meneruskan perjuangan kehidupan. 

Muhasabah diri membuatkan dia sedar bahawa dia cuma hamba-Nya. Dia merenung salah satu dari hadith Rasulullah s.a.w yang turut dimuatkan oleh Imam Nawawi di dalam karyanya (Hadith 40). Hadith tersebut merupakan hadith yang ke 27 berkenaan 'Kebaikan dan Dosa'.

Daripada Nawas bin Sim'an ra. meriwayatkan daripada Nabi s.a.w Baginda bersabda : Maksudnya : "Kebaikan adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang mengusik jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya". [Riwayat Ahmad 4/228, al-Bukhari dalam al-Adab no.295 dan Muslim no.2553]

Nurul Iman menangis teresak-esak terkenangkan dosa-dosanya yang banyak. Dia cuba memperbaiki dirinya. Berusaha semaksimum mungkin. Dia sedar mungkin dia akan kehilangan kesayangan-kesayangannya di masa lalu demi meraih cinta Allah. Kerana Nurul Iman percaya bahawa Allah akan menggantikan ia dengan kesayangan-kesayangan yang lebih baik dan diredhai-Nya. Nurul Iman bahagia kerana hatinya cuma mahukan pimpinan Allah untuk menyelamatkannya dari menzalimi diri. Dan Nurul Iman mahu membuktikan apa yang ada di dalam hatinya  itu bukan dusta, maka percakapan dan perbuatannya juga perlu taat pada Allah. Insyaallah. Inni Akhafullah! 





Isnin, 21 Februari 2011

Ku tidak tahu namamu

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji hanya untuk-Nya Yang Maha Mengetahui. Selawat dan salam buat kekasih-Nya. Tenang malam membisik kerinduan yang mencengkam dari seorang hamba kepada-Nya.

Nurul Iman merenung ke dalam dirinya. Siapa kamu? Monolong Nurul Iman. Entah mengapa, berlegar-legar tanpa jawapan pasti. Penuh dengan teka teki.

Sungguh, daku memang tidak tahu namamu. Walau siapapun namamu, dan siapapun dirimu jua di mana pun kamu berada. Ku mohon pada-Nya, agar Dia Yang Esa sentiasa ada di dalam hatimu, dalam tingkahmu, dalam tuturmu, dalam jiwamu.


Maaf, daku masih sedang sedaya upaya mengisi kelompangan yang bersisa di sana sini. Daku masih terus menggilap nurani agar terang seindah mutiara yang memutih dan berseri-seri.

Kutemui yang terindah dalam perjalananku menuju itu.

*** Seindah Mutiara ***

Adakah mahu ku khabarkan padamu apa yang paling indah dan membahagiakanku?

Sungguh indah, saat tarbiyah-Nya menyapa di segenap ruang kehidupan. Merasakan setiap sesuatu yang terjadi adalah cinta dari-Nya. Nafasku, senyumku, tawaku, riangku, denyut nadiku, kenyangku, tidurku. Semua adalah untuk Dia yang Maha Esa.

Saat ku baca dan teroka setiap lafaz dan makna dari ayat-ayat cinta-Nya. Sungguh Dia sentiasa ada untuk kita semua. Jiwa dibalut tenang, nafas menjadi lapang, minda menjadi terang. Makin ku selusuri kalam Ilahi, makin bertambah-tambah rindu buat-Nya Yang Maha Memiliki.

Saat ku asyik mengingati-Nya saban minit, detik dan waktu. Semakin tumpuanku menyatu, fokusku berpadu. Tiada ragu, malah lancar kehidupanku. Menjadikan ku selalu rindu, untuk terus-menerus menyintai-Nya tanpa mengenal jemu.

Setelahku lalui perjalanan itu, barulah ku tahu. Setiap sisi akan menjadi paling indah, bila ku pandang kehidupan ini dari sudut yang terang dan nyata. Sungguh, kehidupan ini adalah tarbiyah dari-Nya untuk ku belajar erti apa itu sabar dan syukur yang sebenar. Ternyata, ia lebih indah dari ku paksa diri mengorek rahsia Ilahi tentang siapa namamu wahai pemimpin baitul muslimku.

Saat lafaz dan makna dari ayat-ayat cinta-Nya ku bedah dan ku cari gali setiap satunya, barulah ku tahu. Bahawa ia lebih indah dari ku menelan gundah, menyusun petak teka teki yang tiada jawapan pasti untuk mengetahui siapa namamu wahai mujahidku.

Tika ku sering mengingati-Nya di setiap minit dan detik dalam waktu jaga dan tidurku, barulah ku tahu. Bahawa mengingati-Nya jauh lebih indah dan mempersona jiwa berbanding waktu yang ku luangkan mengenangmu di kotak minda wahai adiwiraku.

Wahai pemimpinku, mujahidku, adiwiraku. Ku harap kamu tidak cemburu pada cinta pertamaku. Daku cintakan Dia Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Ku harap kamu pun tahu bahawa cinta-Nya cinta yang abadi. Tiada tara dan tiada ganti (^_^)

Bantu daku, doakan diriku agar istiqamah mengisi kelompangan yang bersisa di sana sini. Andai tiba pada saat dan ketika yang direncanakan Ilahi, dan telah tercatat bahawa dakulah suri hidupmu. Ku mohon pada-Nya, agar kehadiranmu dalam hidupku akan membantuku menyubur bunga-bunga kecintaanku buat-Nya. Dan ku mohon jua pada-Nya, agar kehadiranku di sisimu turut mencambah mekar cintamu buat-Nya. Amin.

Sabtu, 28 Ogos 2010

Untuk Mencari RedhaNya

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji buat Pemilik seluruh alam ini. Allah Maha Kaya, Allah Pemilik segalanya. Hanya dengan mengingatiNya jiwa akan menjadi tenang. Allahuakbar!

Selawat dan salam buat KekasihNya.



***Seindah Mutiara***

Nurul Iman mendepani hari-harinya dengan berbekalkan kekuatan padaNya. Dia yakin Allah Maha Bijaksana mengatur hidupnya. Hanya Allah tempat sandarannya. Cuma Nurul Iman perlu bijak menguruskan perasaannya dalam mencari redhaNya.

Apa dan siapa yang pernah hadir dalam hidupnya dahulu adalah sebahagian dari sejarah hidupnya. Nurul Iman tidak akan mampu "menghalau" mereka yang pernah wujud dalam hidupnya pergi begitu sahaja. Tiada nilai "hikmah" jika dia bertindak demikian. Dia berusaha untuk bersikap tegas agar tiada lagi yang menyalah erti perilakunya. Cuma kadang-kadang agak lucu. Dalam ingin bersikap tegas sesekali dia terlalu tegas. Hingga ada yang mengatakannya "syadid" dan garang malah ada yang kata dia sudah sombong. Tergelak juga Nurul Iman memikirkannya.

Bila ada yang sudah melabel sebegitu, Nurul Iman cuba menyeimbangkan tingkahlaku dan tuturnya supaya ada "hikmah" yang tersulam di sebalik dakwahnya. Nurul Iman menguntum senyum.

Siapa yang pernah wujud dalam hidupnya yang lalu masih lagi cuba mengasak dirinya. Namun demi tekadnya untuk mencapai matlamat "Untuk Mencari RedhaNya" maka Nurul Iman menepis segala yang bakal menghalang matlamatnya itu. Nurul Iman tidak gentar lagi. Bagi Nurul Iman, sesuatu perhubungan yang halal dengan lafaz sakinah iaitu ijab dan qabul tidak perlu dimulai dengan yang haram. Selaras dengan anjuran Islam, iaitu menjauhi perbuatan -perbuatan yang menghampiri zina.

Nurul Iman bahagia melihat rakan-rakan seperjuangan sudah ramai mendirikan Bait Muslim impian masing-masing. Tiba-tiba Nurul Iman terpandangkan lirik lagu dari kumpulan Hijjaz, Permaisuri Hati.


Di antara kekasih pilihan dihati
Punyai budi penghias diri
Wajahnya lembut biasan perkerti yang tinggi
Indahnya perhiasan dunia

Diantara diriku juga dirimu
Hanya mengharapkan cinta yang Satu
Ku kan binakan mahligai impianmu
Oh.. sayang ikhlaskanlah hatimu

Malumu bernilai
Katamu berhikmah
Hatimu tulus suci dan murni
Hanya diri yang halal engkau serahkan segala
Untuk mencari redha Allah

Benarlah cinta buta melalaikan
Tanpa memikirkan batas syariatnya
Semuanya itu hanya ujian didunia
Ia adalah mahar untuk kita ke syurga

Oh? Kau Permaisuri di hatiku
Di dunia ini engkau penghibur
Menjunjung kasih amanah Ilahi
Ku pasti akan terus menyayangi
Terima kasih ucapan ku beri
Kau hadiahkan ku cahaya hati
Ku pimpin tanganmu oh kasih meniti hari
Semoga kita dapat bersama
Sampai kepadaNya disyurga sana

Tuhan kekalkanlah
Permaisuri hati ku
Untuk menemani dalam mengapai cintaMu



Begitulah harapan Nurul Iman,
agar cinta insaninya hanya buat "kekasih halal" nya sahaja,
demi mencari redha Ilahi.
Dia ingin menjadi permaisuri di hati insan yang halal buatnya.
Yang dapat memimpin Nurul Iman menuju cintaNya.
Nurul Iman panjatkan setinggi-tinggi doa padaNya
agar menjadi isteri kepada suami yang amat menyintai Allah.



.: Ingin menjadi isteri solehah buat kekasih halal yang soleh :.



Sabtu, 9 Januari 2010

bukan untuk tatapan umum

Assalamualaikum w.b.t

Tirai malam berlabuh lagi, sujud buat Illahi yang melimpahkan segala rahmatNya buat kita. Bijaklah dalam menguruskan diri dan emosi. Andai terasa goyah. Berhenti sejenak, hirup udara ketenangan. Kemudian teruskan larian kehidupanmu, pastikan larian itu menuju syurga!

Selawat dan salam yang sarat dengan kerinduan buat kekasihNya. Nabi Muhammad S.A.W. Moga kita semua dalam kalangan yang mendapat syafaat baginda di sana nanti. Amin Ya Rabbal 'alamin.


***Seindah Mutiara***

Nurul Iman sedang bersiap-siap untuk keluar bersama sahabat-sahabat serumahnya. Keluar bersiar-siar! Mengeratkan sillaturrahim.

"Ha, baru nampak cantik! Selalunya apa yang Nurul pakai semuanya nampak macam "low profile" je! ". Tegur salah seorang dari mereka.

Walhal, Nurul Iman hanya suka-suka ketika itu. Sebelum melangkah keluar nanti, dia akan hanya membiarkan "low profile" itu sahaja yang menghiasi wajah dan pakaiannya. Bukan dia tidak tahu untuk bergaya sakan seperti wanita lain! Bukan dia tidak tahu caranya! Tapi dia tidak mahu! Kerana dia tahu semua kemahiran menggayakan diri itu hanyalah untuk yang halal. Buat Zauj, Insyallah! Jika Allah izinkan.

Tambahan pula, dengan berpakaian sebegitu, hatinya tenteram. Jiwanya tenang. Hatinya tidak kelam kabut seperti dahulu. Ketika dia terikut-ikut untuk bergaya seperti yang lain. Walaupun manusia yang memandang akan ringan mulut untuk memujinya. Tapi akhirnya dia sedar ,bahawa dia lebih dambakan pujian dan kecintaan dari pemilik hakiki dirinya! Allah Yang Maha Agung.

Biarlah jika dia tidak lagi di puji oleh manusia-manusia yang liar memandang kecantikkan terlarang. Asalkan hatinya tenang dalam kerinduan Jannah. Jadi dia telah pasakkan dalam hati, dengan satu pesanan yang kuat! Bahawa dia perlu semai kesabaran yang jitu untuk pandai menapis dan menepis cakap-cakap orang. Kerana apa? Ya, kerana syurga itu manis!

Biarlah segala kecantikan dan keayuannya menjadi rahsia. Biarlah rahsia! Biar suaminya sahaja yang dapat menilai kemahirannya berhias diri. Walaupun siapa gerangan suaminya itu masih lagi menjadi rahsia Allah buat dirinya. Tetapi Nurul Iman yakin, jika 1 masa nanti dia sudah bergelar isteri dan dia tanyakan hal ini kepada suaminya itu.

Jawapannya ialah?

"Kerana Nurul Iman bukan untuk tatapan umum, tetapi buat tatapan Penciptanya. Kerana Nurul Iman lebih rindukan keharuman syurga, dari keharuman dunia"

=====================================================================


***Monolog Seindah Mutiara***


Rindu keharuman syurga
Meruntun jiwa
Mengalir air mata
Basah sujudku
Kerana terlalu rindu

Wahai pemilik nyawaku
Hidupku
Matiku
Hanya untukMu

Jangan biarkan aku menzalimi diri ini
Yang hanya Kau pinjamkan
Buatku laksanakan amanah duniawi

Andai Kau izinkan aku berkongsi rasa cinta padaMu ini dengan seseorang
Aku mohon agar dia juga amat merindukan keharuman syurgaMu

Allahu Rabbi!



Khamis, 24 Disember 2009

berniqab?

Assalamualaikum w.b.t

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Maha Mengasihani
Yang memiliki setiap sesuatu
Yang memegang hati setiap dari kami
Selimutilah jiwa dan gerak langkah kami dengan Rahmat dariMu

Selawat dan salam penuh kerinduan buat kekasih Allah
Nabi Muhammad S.A.W


***Seindah Mutiara***

Sejak dari bangku sekolah lagi Nurul Iman sudah memasang angan-angan. Ya, angan-angan ingin berniqab. Tapi sekarang, angan-angan itu bukan lagi sekadar angan-angan. Sudah dia bulatkan dalam hati sebagai salah satu dari cita-cita.

Namun ada dilema yang menyelubungi fikirannya. Mampukah aku? Mampukah aku menjaga tingkahlaku yang selayaknya bagi seorang muslimah yang berniqab?

Semasa menonton tv bersama keluarganya, Nurul Iman semakin kerap bertanyakan respon terbuka dari ahli keluarganya. Terutamanya jika terpandang kelibat wanita yang berniqab di kaca tv.

"Boleh tak 1 satu masa nanti Kak Nurul nak pakai macam tu?" Duganya.

"Amri tak kesah kak, mesti sweet kan kalau akak pakai macam tu" Jawab Amri sambil menayang gigi.

Tiba-tiba hati Nurul Iman seakan berderai bila dia menyedari soalannya yang tadi membawa respon yang amat pedih dari adiknya, Nurul Najihah. Najihah hanya memandang sinis ke arah Nurul Iman. Seolah-olah mencabar, lalu dia bingkas bangun dari kerusi dan berlalu masuk ke biliknya. Menyendiri.

" Wahai kak Nurul Iman yang Amri sentiasa kasihi, jangan pedulilah pada orang yang nak mematikan cita-cita baik akak tu. ok? Cuba senyum sikit, janganlah buat muka berkerut-kerut macam tu" Pujuk Amri dan seperti biasa sambil menayangkan barisan giginya.

Nurul Iman pun menguntum senyum.

" Kak, Amri cuma nak ingatkan akak. Tingkahlaku pun kena cantik kalau akak betul-betul nak pakai niqab. Itu pakaian isteri-isteri nabi. Tapi Amri yakin pada akak, Amri tahu akak mampu jadi muslimah solehah. Amri doakan semoga hasrat akak nak berniqab akan terlaksana dan istiqamah. Insyallah." Balas Amri.

" Terima Kasih wahai adikku Muhamad Amri Fathi. Akak hargai kata-kata semangat dari Amri. Insyallah..akan akak laksanakan sebaik mungkin." Balas Nurul Iman sambil menghadiahkan senyuman buat adiknya itu.

============================================================================

*** Monolog Seindah Mutiara*


Moga terpelihara akhlakmu
Moga tenang jiwamu kerana Allah
Moga tiada lagi yang menduga imanmu hanya kerana rupamu
Moga tiada lagi gundah dan lara
Moga terlaksana dengan penuh istiqamah
Seindah mutiara
Yang akan tetap bersinar
Walau diselimuti cengkerangnya
"hargai dirimu seindah mutiara"

Rabu, 4 November 2009

akhirnya dia temui di mana dirinya

Assalamualaikum w.b.t

Ku panjatkan syukur kepada al-Alim..Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar
Selawat dan salam buat pencinta Allah yang paling setia. Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W
Dan salam ukhuwah buat semua pencinta ilmu.



***Seindah Mutiara***

Pagi itu Nurul Iman bangun seperti biasa, mungkin selepas pagi ini dia akan bangun dengan sesuatu yang baru dia temui pagi itu. Agendanya seperti selalu, membuka komputer ribanya dan membaca beberapa artikel dari beberapa lapangan ilmu di tanah maya ini dan dia meneroka. Nurul Iman terpaku membaca, dalam hatinya sentiasa mencari dirinya yang inginkan kedamaian Islam dan Iman.

Hakikatnya pagi itu Nurul Iman merasai dengan "roh" bahawa ketenangan itu datangnya dari Allah Yang Maha Satu. Allah Subhanahuwataala. Menyuburkan kecintaan kepadaNya dengan mendampingi ilmu. Ya, ilmu!

Akhirnya Nurul Iman temui siapa dirinya yang sudah bertahun-tahun hilang dan terperangkap dalam dirinya sendiri. Nurul Iman dulu adalah seorang yang tegas dan memperjuangkan ilmu. Kekentalan semangatnya yang dahulu itu hasil dari biah yang asalnya menyelimuti biah ilmiah di zaman persekolahannya. Mungkin kerana tidak konsisten, dan hanya bersandar kepada biah itu...maka Nurul Iman sendiri kehilangan harta paling berharga dari Allah, iaitu dirinya sendiri!

Nurul Iman pasti, inilah titik mulanya. Dia perlu kembali ke landasan utama. Menyelongkar segala ilmu untuk lebih mengenal Allah. Menyuburkan Iman dan cintakan mati sebagaimana musuh Islam cintakan kehidupan.

Terkenangkan zaman persekolahan yang indah dan nostalgia, bagaimana dia mempertahankan kecintaannya terhadap ilmu. Nurul Iman tersenyum sendirian. Mana tidaknya, dia berperang dalam diam. Hanya memendamkan dan membenci setiap salahlaku teman-teman terhadap ilmu dengan sekeras-kerasnya. Sayangnya ia hanya di dalam hati, kerana Nurul Iman merupakan gadis pendiam dan hanya bercakap bila ada keperluan ilmiah sahaja. Ketika itu dia tidak pandai bercerita dan berceloteh seperti kebiasaan gadis-gadis remaja seusianya.

Dari sudut itu, dia memang sudah banyak bergerak ke arah yang lebih positif. Kini dia sudah berani melontarkan pendiriannya di khalayak. Tidak lagi hanya memendamkan di dalam hati. Cuma banyak lagi yang perlu dia beri sentuhan penambahbaikkan, selaras dengan kecintaannya terhadap ilmu yang tak akan terpadam lagi selagi nafasnya belum terhenti.

======================================================

***Monolog Seindah Mutiara***


Jangan gentar serikandi Islam
ingin menjadi seindah mutiara perlu ada tangan yang memimpin
jadikan Asiyah sebagai inspirasi
jadikan Saidatina Khadijah kekuatan
jadikan Maryam sumber ketabahan
jadikan Saidatina Aisyah sebagai lubuk ilmu

dan selongkar dan terus menyelongkar
teroka dan terus meneroka
sesungguhnya ilmu itu jambatan iman
menuju pintu-pintu ketenangan syurga hakiki

jangan gentar lagi wahai serikandi!
biar salah, tapi jangan gentar
kerana proses belajar itu perlu tahu apa yang salah apa yang benar

usia dunia sudah semakin dimamah
dan hari kebangkitan sudah semakin mendekat
jangan berlengah lagi
teruskan perjuanganmu wahai serikandi
moga Allah dan Rasul sentiasa kekal dijiwa dan hatimu
jangan pernah sekali-kali padam dan luntur!

semoga damai hatimu wahai serikandi pejuang ilmu
" hargai dirimu seindah mutiara"

Isnin, 2 November 2009

dari hati, untuk muslimah

Assalamualaikum..w.bt
Selawat dan salam buat kekasih Allah.Muhammad Rasullullah.



***Seindah Mutiara***

Petang itu, Nurul Iman menangis lagi. Awalnya, ketika hendak mendail nombor ibu dia sudah nekad untuk mendiamkan sahaja kemelut yang memerangkap jiwanya. Namun, setelah mendengar suara ibu di hujung talian. Dia bingkas diam, tidak mampu mengeluarkan aura cerianya seperti selalu. Apatah lagi bila ibu tanpa bertanya, lalu berpesan.

"Nurul Iman jangan buat keputusan besar dengan terburu-buru ya?,'' kata ibu

"Macam mana ibu tahu apa yang Nurul serabutkan?," soalnya pada ibu walaupun hakikatnya dia tahu jawapan pada persoalan itu. Hati ibu pada anak memang hakikatnya begitu.

Hati Nurul Iman sudah menangis sebenarnya, tapi ditahan-tahan dari terzahir menjadi manik-manik jernih. Hatinya lantas teringatkan Yang Maha Satu. Ya Allah, banyak dosaku padaMu. Tak layak untuk diri ini dikelilingi dan disayangi insan-insan yang mujahid. Kala ini aku cuma hanya ingin merebut cintaMu Ya Rabbi. Air mata Nurul Iman akhirnya kecundang di pipi. Ibu diam, membisu sebelum menyambung kata nasihatnya.

''Ibu rasa, mungkin belum masanya untuk Nurul letakkan hati pada seseorang," jelas ibu.

Cepat-cepat Nurul Iman menyahut. "Tak, ibu....Nurul memang tak berani meletakkan hati ini selain Allah dan Rasul..cukuplah sekali Nurul dah buat silap dulu. Nurul tahu, cinta hanya untuk yang selayaknya. Nurul baru nak pulang ke jalan asal, nak rebut semula cinta nan satu dari Ilahi. Ibu pun tahu kan, sebelum ini Nurul macam mana?"

"Baguslah kalau Nurul tahu, tak apa lah. Sekarang, Nurul cuba tenang ya? Insyaallah, nanti ibu akan bantu Nurul....kita sama-sama cari jalan penyelesaiannya. Cuma ibu harap Nurul akan jadi Nurul yang lebih matang selepas ini" jawab ibu dengan tenang.

Hati Nurul Iman kembali tenang, bersyukur dihatinya kerana Allah kirimkan ibu sebagai syurga dunianya, tempat bermanja dan berteduh dikala suka dan duka.

"Insyallah, terima kasih ibu. Doakan Nurul ya, dan semoga Nurul tenang dan matang menghadapi semua ini. Nurul tak sabar nak jumpa ibu. Nurul sayang ibu, Nurul rindu ibu" balasnya sayu.

"Ibu pun sayang Nurul juga, dah....jangan menangis lagi. Ibu tahu anak ibu kuat." ibunya cuba memujuk, ada nada ketawa di hujung sana.

"Assalamualaikum ibu," Nurul mengakhiri

"Wa'alaikumsalam," Ibu mengakhiri kalam dan memutuskan panggilan.
====================================================================


***Monolog Seindah Mutiara***


Wahai muslimah yang berjiwa solehah
menjadi mukminah itu perlu usaha
dikejar-kejar oleh cinta ajnabi itu bukan tiket ke pintu syurga

pedulikan kata-kata yang cuba menyemarakkan lagi api dari neraka
yang cuba menyanjungmu kerana mereka kagum
melihat ada ramai yang cuba menagih cintamu

Wahai muslimah yang berjiwa solehah
walaupun pernah 1 masa dulu
kau amat ternanti-nantikan hadirnya mujahid
menjemputmu dengan salam izin
untuk sama-sama meraih jalan syurga

namun, jangan kau tenggelam dalam bermacam-macam noda
noda yang hadir bagai sarang ular yang dalam
hanya menanti untuk menyebarkan bisa racun kemaksiatan

Jadikanlah dirimu wahai muslimah yang berjiwa solehah
seperti mutiara
seindah mutiara
biar jauh di dasar lautan
dilindungi cengkerang
namun masih terserlah keindahannya
bersinar di dalam lautan yang penuh cahaya kedamaian

Hanya mujahid yang benar-benar berhati soleh
yang mampu mengambilmu
dari dasar lautan dingin
dia membeku dari memandang wajahmu
dia menjauh dari mendengar suaramu
dia menyelam ke dasar cinta Rabbi
demi mendapat mutiara hati

Semoga damai wahai hati muslimah yang berjiwa solehah,
"hargai dirimu seindah mutiara"
Powered By Blogger