"Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikian juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" [Ibrahim : 40]

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata "kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" [al-Ankabut :2]



Sahabatku

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Anniversary tickers

Selasa, 9 Februari 2010

cerpen : kanvas cinta buat Naufal

Sudah hampir sebulan Amni merasa aneh pada dirinya sendiri, sedangkan tiada apa-apa masalah besar yang perlu diselesaikan. Tetapi lagak resah hatinya amat ganjil sekali seperti ada yang tidak kena. Awalnya dia cuba berfikiran positif dengan menyangka ia cuma perkara normal. Namun, hari demi hari yang dilalui kerap meninggalkan tanda tanya di benak fikirannya. Mana tidaknya, dia semakin kerap mendapat gerak hati kemudian selang beberapa minit, jam atau hari ia berlaku persis yang terlintas di hatinya. Kemungkinan besar hanya kebetulan, mungkin juga hanya salah satu dari tipu daya syaitan laknatullah atau sememangnya Allah membuka hijab buat dirinya untuk merasai semua itu. Hanya Allah Yang Maha Tahu, jadi dia cuba memperbanyakkan zikrullah, memerhatikan kebesaran Allah, mengingati mati dan memohon agar di jauhkan dari tipu daya syaitan.

Cuaca sememangnya panas dan terik akhir-akhir ini. Kerap benar dia jatuh sakit seminggu dua ini, kadangkala demam dan sekejap kebah semula kemudian suhu badan meningkat mendadak dengan tiba-tiba. Kadangkala sakit kepala, sakit tekak tapi ditahan-tahan agar dapat meminimumkan kerja-kerja yang terbengkalai. Pelbagai gerak hatinya yang sebelum ini juga telah mula surut dari menagih tanda tanya di benak fikirannya. Dan dia cuba meneruskan setiap hari-harinya seperti biasa dan cuba untuk ceria walaupun kadangkala terpaksa berpura-pura menyembunyikan kesakitan yang mencengkam.

Dalam kebisuan malam yang menemaninya melunaskan beberapa tugasan, ada 1 gerak hati yang lintas di hatinya. Di buang jauh-jauh dari terus menjadi tanda tanya. Namun selang sehari kemudian, Amni tergamam bila dilamar oleh Naufal, kenalan dari temannya. Dia tolak jauh-jauh gerak hatinya yang semalam. Ya, gerak hatinya yang semalam itu mengatakan bahawa jodohnya sudah dekat! Dan dia mengambil keputusan yang lebih meyakinkan iaitu menerusi jambatan istikharah untuk menjawab lamaran itu.


Doa Istikharah

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepadaMu dengan ilmuMu, memohon ketetapan dengan kekusaanMu, dan aku memohon kurniaanMu yang sangat Agung kerana sesungguhnya Kau berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa sama sekali, Kau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Kau mengetahui urusan ini .................................... lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku. Baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang, maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika Kau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku. Baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang, maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut."




Hati Amni berbunga-bunga tatkala istikaharahnya kali ini memberikan sebuah jawapan yang berbeza dari yang sebelumnya. Buat pertama kali petunjuk istikharahnya meyakinkan hati untuk menerima sebuah lamaran. Sebelum ini, sudah 2 kali dia menghadapi lamaran sebegini, dia yakin istikaharah sahaja jambatan kepada semua dilemanya untuk memberi jawapan balas buat setiap lamaran itu. Dia menolak kedua-dua lamaran yang sebelum itu dengan sebaik mungkin. Tapi kali ini? Dia sendiri langsung tidak menyangka kembara hatinya berhenti pada pemuda itu. Sememangnya dia kurang mengenali persis gerak gaya pemuda yang bernama Naufal. Tetapi menurut teman yang menjadi perantara, Naufal seorang pemuda yang bertanggungjawab dan matang dalam bertindak. Temannya itu turut menambah, bahawa Naufal seorang pemuda yang menjaga agama juga terkenal dengan akrabnya terhadap ilmu.

Dia duduk merenung redup sang langit petang dari sisi kerusi belajarnya. Hatinya lantas berbicara, benarkah sudah tiba masa untuk semua itu? Tapi dia sendiri belum pasti. Andai dia memberi jawapan, adakah dia sudah bersedia untuk semua fasa baru itu? Dia membiarkan fikirannya berehat sebentar dari mencari sebuah kepastian. Dia hanya mahu menjamu matanya dengan redup langit petang agar lebih rasional membuat penilaian. Dia yakin sememangnya Naufal orangnya.

Namun Amni membulatkan tekad untuk meminta Naufal berjumpa sendiri ibu bapanya tanpa memberikan jawapan pasti buat Naufal. Biarlah Naufal kenal keluarganya dan meminta izin dari ibu bapanya. Dia tidak mahu membuat sebarang keputusan tanpa mendahulukan izin dari ibu bapanya. Buat pertama kali dia melihat sendiri kewujudan Naufal, iaitu ketika Naufal datang ke rumahnya untuk mengotakan janjinya buat Amni. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Ibu bapa Amni menerima hajat kehadiran Naufal dengan hati yang terbuka. Tanda hubungan antara Amni dan Naufal di restui, seminggu kemudian Naufal menghantar rombongan merisik dan menetapkan tarikh pertunangan.

Amni tersenyum melihat sepasang kurung satin berona merah jambu tergantung kemas di almari. Baju itulah yang akan menemaninya esok sepanjang berlangsung majlis pertunangannya. Dia tidak menyangka sepantas ini waktu berlalu. Beberapa sahabat dan sanak saudara yang sudi hadir tidak pernah sunyi malah tetap setia mencetuskan suasana ceria di segenap ruang. Kemuncak majlis akhirnya tiba jua, menambahkan debaran di hati Amni. Cincin di sarungkan tanda sebuah permulaan ikatan janji. Dia cuba mengangkat mukanya dari tertunduk malu, namun dia merasa amat berat.

**********

Dia membuka mata perlahan-lahan. Terasa seperti mata dan seluruh tubuhnya kebas.

"Alhamdulillah, syukur. Bangun juga akhirnya anak ibu. Ibu rindu Najla, rindu sangat. Janganlah tidur lama-lama lagi" rayu ibu padanya.

" Ibu, siapa Najla bu? Ni Amni la, anak ibu. Tak kan ibu tak kenal anak ibu? Soal Amni kehairanan.

" Tidak sayang, nama anak ibu bukan Amni. Tapi Nur Najla. Siapa Amni? Kawan Najla ke?" Ibunya memperbetulkan dakwaan Najla. Dan Najla semakin bingung.

Puan Maznah menceritakan satu persatu apa yang terjadi pada dirinya. Terdiam Najla mendengar kronologi cerita tentang dirinya sendiri. Barulah dia faham, rupa-rupanya sudah sebulan dia terlantar di hospital! Dalam perjalanan pulang dari sebuah program anjuran kolejnya, dia terlibat dalam sebuah kemalangan ngeri yang menyebabkan bas yang di naiki bersama teman-temannya menjunam ke dalam gaung. Dua darinya telah terkorban, salah seorang adalah pemandu bas itu sendiri dan seorang lagi adalah kenalannya dari fakulti ekonomi. Manakala yang lainnya ramai yang cedera parah, dan dirinya sendiri telah koma selama sebulan! Kaki kanannya patah!

Walaupun berada dalam kondisi yang agak kritikal dan kesembuhan mungkin memakan masa beberapa bulan, namun harapan untuk sembuh tetap ada. Najla tidak cepat putus asa atas kepayahan yang sedang dialaminya kini, oleh itu dia tetap melaksanakan solat dengan memanfaatkan rukhsah yang telah disediakan Allah buat hambaNya. Begitulah Najla, seorang gadis yang benar-benar mengangkat Islam dalam hati dan jiwanya.

Usai melaksanakan solat subuh Najla cuba menenangkan dirinya. Dia menutup rapat matanya, menghirup udara pagi yang mencuri masuk dari celahan tingkap yang sedikit terbuka. Dia menerima ketentuan dari Allah dengan redha dan berlapang dada. Mana mungkin Allah menjadikan sesuatu dengan sia-sia, pasti ada hikmah di setiap sesuatu. Lantas dia teringat petikan dari surah Al-Baqarah.


"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang di usahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa) : " Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak sanggup memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir". (Al-Baqarah : 286)


Cuma yang menjadi persoalan yang berlegar-legar di fikirannya adalah, siapa Amni? Dia merasakan amat dekat dengannya. Sehinggakan dia merasa seolah-olah Amni itu dirinya sendiri. Namun bila dia penat meneka siapa Amni, tiba-tiba terbayang di skrin mindanya berkaitan Naufal yang hadir di dalam lenanya semasa koma itu. Seperti Amni, Naufal juga tidak dikenalinya. Najla tersenyum.

"Bagaimana keadaan kamu hari ini?". Suara seorang lelaki memecah lamunannya.

Najla membuka matanya perlahan untuk menjawab pertanyaan doktor bertugas pagi itu. Terkejut Najla bukan kepalang, bila melihat tanda nama yang tertera pada baju doktor yang berada di hadapannya tika itu. Naufal? Bisik hatinya.

"Alhamdulillah. Saya rasa segar Dr., walaupun saya belum boleh bangun dari katil ni, tapi saya yakin esok saya dah boleh berlari macam orang lain!". Najla cuba berjenaka dengan nada penuh semangat.

"Baguslah kalau kamu bersemangat untuk cepat sembuh, teruskan berusaha dan bersemangat macam ni ya. Rajin-rajin makan ubat, rajin-rajin dengar cakap jururawat. Insyaallah, semoga Allah permudahkan urusan kamu dan saya doakan kamu cepat sembuh". Dr. Naufal terus menyuntik semangat kepada pesakitnya.

"Oh, makan ubat dan dengar cakap jururawat je? Kalau macam tu cakap Dr. saya tak perlu rajin dengar ya?". Najla cuba memecahkan suasana sunyi dan menghiburkan hatinya. Dr. Naufal hanya tersenyum.

*********

Najla sedang bersungguh-sungguh menjalani sesi fisioterapinya. 5 bulan sudah berlalu, pagi itu seperti biasa ibunya setia menemani dia menjalani sesi yang telah dijadualkan untuknya. Selesai sesi hari itu, ibunya datang merapatinya dan berbisik tentang sesuatu yang benar-benar membuatkan jantungnya berdegup kuat.

"Dr. Naufal? Ibu jangan bergurau lah dengan Najla. Mustahil lah! Tak kan lah dia tak tahu keadaan Najla? Hendak berjalan pun Najla tak mampu. Apa lagi nak menunaikan tanggungjawab seberat itu?" Najla memprotes apa yang dibisikkan ibunya sebentar tadi.

"Entah la, ibu pun ada tanya pada dia tentang itu. Tapi dia kata dengan ibu dan ayah yang dia yakin dengan keputusan yang dia ambil ni. Dan dia takkan berganjak kalau Najla menggunakan itu sebagai alasan Najla menolak lamarannya". Tambah Pn. Maznah.

Setelah beberapa minggu dia mempertimbangkan hasrat Dr. Naufal dan mengambil kira semua buruk dan baiknya keputusan yang bakal diambil, Najla yakin untuk menerima lamaran Dr. Naufal untuk menjadi permaisuri hatinya. Dia berserah kepada Allah. Majlis pernikahan Naufal dan Najla diadakan sederhana namun cukup meriah. Najla amat manis dan berseri-seri mengenakan sepasang jubah dan tudung labuh putih berkain satin serta turut mengenakan sehelai selendang silver pada majlis itu. Walaupun Najla hanya mampu duduk di kerusi roda pada hari bahagianya, namun kehadiran seorang insan bernama Naufal di sisi sebagai suami yang amat memahami dan menyayangi dirinya seadanya membuatkan Najla tidak merasakan kecacatannya itu satu penghalang untuknya merasa bahagia.

Dia ingin menjadi isteri yang solehah dan membahagiakan hati suami. Dia tidak akan sekali-kali membawa apa-apa kesedihan mengganggu gugat setianya pada tulus cinta seorang insan bernama Naufal. Pernah juga dia bertanya pada suaminya itu mengapa begitu yakin memilihnya sebagai isteri.

Dengan tenang, Naufal menjawab. "Cinta Najla buat abang singgah dalam keyakinan sujud abang pada Pencipta segala Kebahagiaan. Abang selalu minta dari Allah seorang isteri yang baik, solehah, penyejuk mata dan mendamaikan hati. Alhamdulillah, Abang tak sangka rupa-rupanya Allah beri lebih baik dari yang Abang minta". Najla tersenyum bahagia. Ya Allah, sungguh Kau Maha Pengasih dan Penyayang. Subhanallah!

**********

Saat-saat melahirkan permata hati semakin mendebarkan seisi keluarga. Najla dan Naufal memastikan persiapan menyambut si kecil hanya sederhana dan tiada pembaziran. Apa yang penting ialah Najla dan bayinya selamat dan sihat. Namun, Najla banyak mendiamkan diri semenjak dia mendapat 1 gerak hati yang meresahkan dirinya. Namun, cepat-cepat dia padam semua tanggapan-tanggapan negatif yang bersarang di minda.

Petang itu, dia di bawa ke hospital kerana si kecil sudah tidak sabar ingin melihat dunia. Dia di bawa masuk dan berbaring pada sebuah katil. Dia pandang ke kanannya, suaminya Naufal masih setia di sisi. Dia menghadiahkan senyuman buat Naufal. Namun wajah cemas Naufal hanya mampu membalas senyuman Najla dengan berbalut resah. Di kirinya dia melihat ada jururawat yang lengkap berseragam merah jambu menguruskan keperluan dirinya sebagai pesakit baru di situ. Najla pasrah kepada Allah sepenuh hatinya, sudah tiba masanya.


**********

Naufal menyelak satu persatu helaian diari arwah isteri tercinta. Dia tahu arwah isterinya itu gemar menulis diari semenjak selepas dia sedar dari kemalangan yang berlaku 2 tahun lepas. Naufal menghabiskan beberapa hari menjamah rasa dari setiap isi luahan bicara hati diari isterinya. Merah muka Naufal menahan sebak membaca catatan Najla berkaitan pengalamannya ketika koma. Sebaknya tambah ditahan-tahan bila membaca bait-bait luahan bahagia Najla semasa menjadi isteri Naufal dan kebahagiaannya menerima kehadiran si kecil yang bergerak aktif di dalam rahimnya.

Pada catatan terakhir, Najla ada menukilkan hasratnya tentang kelahiran yang bakal memeriahkan seisi keluarga. Jika dia selamat melahirkan bayi perempuan, dia berhasrat ingin meletakkan nama si kecil itu, Amni. Nur Amni Binti Naufal. "Cahaya Ketenanganku". Saat itu, Naufal sudah tidak mampu menyekat air matanya dari tumpah. Semoga tenang di sana sayangku.


Doa Untuk Kesedihan Yang Mendalam

لا اله الا الله العظيم الحليم, لا اله الا الله رب العرش العظيم, لا اله لا الله رب السماوات ورب الارض ورب العرش الكريم

"Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Agung dan Maha Pengampun. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Tuhan yang menguasai arasy, yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Tuhan yang menguasai langit dan bumi. Tuhan Yang menguasai arasy, lagi Maha Mulia". -riwayat al-bukhari 7/154, muslim 4/2092-


p/s: Saja merapu.huhu. Maaf sangat sebab tidak memenuhi ciri sebuah penulisan yang baik. Maaf andai ada yang membaca sehingga habis kemudian rasa nak protes.hehe. Maaf juga sebab saya telah mencuri masa anda (^_^) ok, nak sambung buat assignment! yea...tinggal 3 hari nak balik, tapi saya fever again. Doakan saya cepat sembuh ya. (^_^)

Ahad, 7 Februari 2010

kaca mata hati

Allah meminjamkan kita nikmat mata
Yang punya fungsi yang sama
Melihat dan menjamah suasana

Tapi bagaimana?


Kaca mata hatiku
Pujuk lah hatimu
Supaya jangan cepat berburuk sangka dan membenci

Pandanglah sesuatu
Dengan pandangan hikmah
Pandanglah seseorang
Dengan pandangan dakwah

Pandanglah sesuatu
Dengan pandangan kasih sayang
Pandanglah seseorang
Dengan pandangan ukhwah

Pandanglah sesuatu
Dengan pandangan Iman
Pandanglah seseorang
Dengan pandangan Taqwa

Tundukkan pandanganmu
Pada setiap yang melalaikan jiwa
Tundukkan pandanganmu
Pada setiap yang merayu nafsu ke lembah zina
Tundukkan pandanganmu
Pada setiap yang merosakkan damai hati
Tundukkan pandanganmu
Pada setiap jerat permainan cintakan duniawi

Kerana apa?
Hati akan mati!
Jika dibajai hidangan maksiat saban hari
Maka jamulah pandanganmu dengan kebesaran Ilahi
Agar hati hidup segar dan mewarnai diri

Kerana apa?
Akal akan mati!
Jika tidak pandai memakai kaca mata hati Islami
Maka ajarlah mindamu mencerna ilmu, meluaskan cetusan kreativiti
Agar akal hidup sihat dan giat berinovasi


Sabtu, 6 Februari 2010

Kau Bagai Cahaya

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji bagi Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad S.A.W.

Salam Kasih Sayang buat semua sahabat-sahabatku, teman-teman seperjuangan, kawan mahupun rakan. Pucuk pangkalnya apa pun istilah dan definisi yang di gunakan ia tetap berlandaskan kasih sayang dan ukhwah. Dedikasi untuk semua. Yang selalu ada di kalaku gembira mahupun duka, pakar-pakar penasihatku, tempat berkongsi curahan idea, tempat meluah rasa, juga pakar-pakar memantau kebajikan dan kesihatan diri ini, yang prihatin walau kalian jauh atau dekat dari pandangan mata ini. Walau hanya bertanya khabar dari YM atau dari panggilan telefon, atau hanya sesekali terjumpa dan bersua muka, atau yang selalu ada di depan mata. Semua tetap sentiasa di hati (^_^). Semoga Allah melimpahkan RahmatNya buat kalian, kerana dengan ukhwahmu sahabat, dengan ukhwahmu teman, dengan ukhwahmu kawan.. diri ini merasa nikmatnya bersaudara.Alhamdulillah. Uhibbukum fillah (^_^)

Album : Kembara Cinta
Munsyid : Saujana
http://liriknasyid.com


Sedingin embunan dedaun kehijauan
Sesegar ingatan kenangan kisah silam
Kita seiringan bersatu dan berjuang
Meniti titian persahabatan
Kau hadir bawa cahaya
Terangi hatiku teman
Saling memerlukan dan mengharapkan

Reff:
Tangis gembira disaat bahagia
Moga kan kekal menuju ke syurga
Kerana tuhan kita ditemukan
Andai terpisah itu ketentuan

Sedingin embunan dedaun kehijauan
Sesegar ingatan kenangan kisah silam
Kita seiringan bersatu dan berjuang
Meniti titian persahabatan

Sengketa dan kesilapan
Itulah fitrahnya insan
Kata dan teguran
Itulah pedoman

Khamis, 4 Februari 2010

Lewat pertemuan


Lewat pertemuan
Ku rasakan tiada lagi
pintu kewangian buatku

Lewat pertemuan
Bagaikan ada suatu daya membuangku jauh
dari melihat syurgaNya itu

Lewat pertemuan
Membuatkan hati ingin terjun
ke laut dingin
Buat menyejukkan panasnya
hati yang keras
Hati yang sudah kering
dari menginsafi dosa dan khilaf

Lewat pertemuan
Membayangi lelap
Menghantui rasa
Memahitkan deria
Maka pincanglah langkah!

Lewat pertemuan
Bagai diheret oleh sang penjaga neraka
Diheret jauh dari jalan menuju damai hakiki
Kerana jelas tidak memiliki kunci syurgawi
Dek sirna yang nyata, memungkiri janji suci

Kerana lewat pertemuan!
Tersedu~
Menjerit jiwa~
Cuba disusun semula langkah yang pincang
Rebah!

Rasakan!!!

Takbir, rukuk, sujud dan salam
Adalah pertemuan mulia
Menyatukan rasa, menyelami dosa
Menundukkan segala kelancangan diri berpijak megah
Di bumi asing

Mengapa asing?
Semestinya asing!
Kerana di sini bukan syurga!
Tempat kekal hanya di sana!

Abadi~

Jumaat, 29 Januari 2010

Apa yang kamu kejar???!!!

Assalamualaikum w.b.t

Hanya kepada Allah sahaja kita berserah. Allah Maha Adil! Allah Maha Mengetahui! Allah pemilik mutlak segala apa yang ada di bumi dan di langit! Apa sahaja yang kamu miliki hari ini juga milikNya. Ya Rabbana, jauhkan kami dari perasaan hasad dengki. Ya Rabbana, kami rindu syurgaMu. Ya Rabbana, pandulah kami agar kami tidak berada di dalam kesesatan yang nyata. Allahuakbar!

Selawat dan Salam buat Nabi Muhammad S.A.W. Ya Nabina, kami ingin menjadi umatmu yang sentiasa dekat dengan ajaran Islam yang di bawa olehmu. Agama yang Allah redhai. Menyintai dan mengamalkan sunnahmu.



Dalam mendepani realiti kehidupan kita, ada yang dipimpin dan ada yang menjadi pemimpin. Ada juga yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan ada pula yang ditadbir. Walaupun diberi nikmat dan kurniaan sifat kepimpinan dan mentadbir, namun ramai yang lupa! Itu semua amanah yang Allah beri. Akan ada perhitungan di hadapan Allah akhirat kelak antara yang dipimpin dan yang memimpin, begitu juga antara yang ditadbir dan yang mentadbir. Apa yang kamu kejar???!!!! Kemasyhuran? Dunia dan segala isinya? Keredhaan Allah dan syurgaNya?



>>>Jadilah Penguasa Yang Adil<<<

قال الله تعالى : ان الله يأمر بالعدل والاحسان
Allah Ta'ala berfirman : "Sesungguhnya Allah menyuruh untuk berlaku adil dan berbuat baik" (An-Nahl :90)
قال تعالى : واقسطوا ان الله يحب المقسطين

Allah Ta'ala berfirman : "Dan berlaku adillah kamu sekalian sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil". (Al-Hujurat: 9)

Dari Abu Hurairah ra. dari Nabi S.A.W, beliau bersabda : "Ada 7 kelompok yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tiada naungan kecuali naunganNya iaitu : Pemimpin yang adil, remaja yang sentiasa beribadah kepada Allah Ta'ala, seseorang yang hatinya sentiasa dipertautkan dengan masjid, 2 orang yang saling cinta-menyintai kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah keranaNya, seorang lelaki yang ketika dirayu oleh wanita bangsawan lagi rupawan lalu menjawab : "Sesungguhnya saya takut kepada Allah", seseorang yang mengeluarkan sedekah kemudian ia merahsiakan sampai-sampai tangan kiri tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya, dan sesorang yang berdzikir kepada Allah di tempat sunyi kemudian kedua matanya menitiskan air mata". (Riwayat Bukhari dan Muslim)



>>>Larangan Menipu
<<<

قال الله تعالى : والذين يؤذون المؤمنين والمؤمنات بغير مااكتسبو فقد احتملوا بهتانا واثما مبينا

Allah Ta'ala berfirman : "Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang beriman baik lelaki mahupun perempuan tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata". (Al-Ahzab :58)



Manusia selalu lupa, bila nikmat melimpah ruah. Kesenangan, pangkat dan kedudukan, kebijaksanaan yang dimiliki yang ada pada diri dirasakan akan tetap dimiliki sampai bila-bila. Oh tidak!!! Kita silap!!! Ia kekal milik Allah Ta'ala, dan sebaik-baik kemenangan adalah beroleh syurga Allah di negeri Akhirat nanti yang kekal abadi.

Ketawa melihat orang lain tumpas di atas percaturan dan pembohongan yang kamu bina memang memuaskan hatimu yang tamak dan amat cintakan dunia itu! Tapi adakah pasti kamu juga mampu gembira seperti hari kamu mentertawakan orang yang kamu tindas di akhirat kelak???!!! Apa yang kamu kejar???!!! Kemasyhuran? Dunia dan segala isinya? Keredhaan Allah dan SyurgaNya?



Marilah kita sama-sama nilai apa yang ada di dalam hati kita masing-masing. Kerana manusia selalu lupa. Jadi jangan terus biarkan diri berada dalam kelupaan yang nyata. Berpijak di bumi nyata. Allah Maha Melihat setiap apa yang dilakukan hambaNya, walaupun di tempat yang sunyi. Hatta apa yang terdetik di hatimu juga Allah Maha Tahu.

Ayuh sahut seruan Allah yang menjanjikan syurga kepada orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepadaNya. Betulkan yang salah dan amalkan yang betul. Kembali kepada Allah Yang Maha Esa. Kematian itu menghampiri setiap kita. Dan ingat juga, kita umat akhir zaman. Yang menjadi tanda bahawa kiamat juga menghampiri.

>>>Janji Allah Ta'ala Bagi Orang-orang Yang Beriman Di Dalam Syurga<<<

وقال الله تعالى : ان المتقين في جنات وعيون . ادخلوها بسلام امنين . ونزعنا ما في صدورهم من غل اخوانا على سرر متقابلين لايمسهم فيها نصب وماهم منها بمخرجين
Allah Ta'ala berfirman : "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam syurga (taman-taman) dan (di dekat) mata air-mata air (yang mengalir). (Dikatakan kepada mereka) : " Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman". Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan. Mereka tidak merasa lelah di dalamnya dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan daripadanya". ( Al-Hijr : 45-48)



Wallahualam...

p/s : Moga kita sama-sama ingat dan mengambil pengajaran!


Rabu, 27 Januari 2010

lafaz tersimpan

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulilah, syukur ke hadrat Allah, yang masih meminjamkan kehidupan buat kita semua di bumi ini. Semoga kita semua sedar dan belajar bagaimana untuk memakmurkan bumi yang kita diami ini.

Selawat dan salam buat Nabi Muhammad dan keluarga baginda, serta seluruh para sahabat dan syuhada yang tidak pernah mengenal erti penat dan letih demi menegakkan kalimah Allah dan menyebarkan dakwah Islam di serata dunia.




Alhamdulillah, keadaan diri semakin pulih. Sejak hari Jumaat lepas, keadaan kesihatan tak mengizinkan. Mungkin kerana diri ini banyak lupa, maka Allah meninggalkan "pesan" agar jangan lupa lagi! Walaupun keadaan kepala macam ni, tapi tak boleh nak di manjakan sangat. Ada banyak tanggungjawab yang perlu diselesaikan, kuliah perlu juga dihadiri. Sayang kalau terlepas syarah ustaz di dalam kuliah. Biarpun agak gayat dan terhuyung hayang semasa berjalan, ku gagahi kaki...ku langkah jua~

Syukur ke hadrat Allah kerana barisan murabbi yang mengajar semester ini amat menarik perhatian kami semua dengan segala pergunungan ilmu yang mereka ada. Sama seperti semester-semester yang lalu. Semoga semua murabbiku samaada guru yang mengajarku membaca al-Quran, yang mengajar di kelas KAFA, di sekolah agama, di sekolah rendah, di sekolah menengah mahupun barisan murabbiku di UKM ini akan sentiasa dilimpahi Rahmat dan Kasih Sayang Allah. Insyaallah..(^_^) Bila di hitung-hitung hanya tinggal setahun 3 bulan sahaja baki perkuliahanku di bumi UKM ni. Sedihnya~ (T_T)

Jangan sekadar bersedih menghitung waktu wahai diri. Tapi manfaatkan waktu yang masih berbaki itu sebaik mungkin. Agar tiada penyesalan di kemudian hari. Tempat ini bukan untuk bersuka ria, bukan untuk meronda-ronda...tapi tempat yang ku diami ini adalah tempat menuntut ilmu....dan memperkukuhkan jati diri. Ingat yang itu ya!


5 hari yang dilalui menerbitkan pelbagai rasa. Ada banyak lafaz yang tersimpan. Buat sahabat-sahabatku, Linda, Kak Ida, Kak Ain....terima kasih atas segalanya. Raut wajah dan kata-kata semangat dari kalian amatku rindui (^_^) Buat Ukhti "Ummu Solehah", enti banyak membantu...syukran ala kulli hal (^_^) Buat ahli bait kesayanganku, Jun dan adik Masni, thanks because trying to understand me! Moga ikatan ukhwah antara kita semua kekal erat buat selamanya. Insyallah.


Sutera Kasih

Kian lama terpenjara
Mencari makna cinta
Dalam ungkap kata bersulam dusta

Bila gerbang rahmat terbuka
Menjelma cinta suci
Sehalus dan selembut sutera kasih
Terbentanglah tersingkap kebenaran
Terlerailah terbenam kepalsuan
Tuhan padaMu ada kedamaian
Di ribaanMu kebahagiaan
Tiada lagi rasa kesangsian di hati
CintaMu cinta tulus suci murni
KasihMu nan abadi

Bertautlah bercambahlah cinta
Mengharum dalam jiwa
Menemukan kerinduan syahdu
Pada yang Maha Esa

Sutera kasih membelai
Membalut kelukaan itu
Sutera kasih melambai
Mengisi kekosongan pengharapan

Rela pasrahkan kehidupan
Mengharungi cabaran
Rintangan perjalanan di hadapan

Doa dan titis air mata
Mendamba sutera kasih
Agar terus bersemi selamanya


Oh ya, tiba-tiba teringatkan sesuatu. Dah setahun perkara itu berlalu. Setahun yang lalu, keadaan agak mencemaskan dan penuh pengharapan. Berlainan dengan hari ini, kerana hari ini sarat dengan semangat membara dari diri itu. Moga berjaya esok! Jangan bimbang, segala yang lalu telah terpadam. Sudahku buka buku baru. Buku yang lebih bermanfaat.(^_^) Apa yang bakal berlaku di masa akan datang ku sandarkan segalanya hanya pada pemilik mutlak alam ini. Biar lafaznya tersimpan di sini.

اللهم اني أسألك العفو والعافية في الدنيا والأخرة؛ اللهم اني أسألك العفو والعافية في ديني ودنياي وأهلي ومالي . اللهم احفظني من بين يدي؛ ومن خلفي؛ وعن يميني وعن شمالي؛ ومن فوقي؛ وأعوذ بعظمتك أن أغتال من تحتي
"Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah, Sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah auratku ( aib dan sesuatu yang tidak layak dilihat orang ) dan tenteramkanlah aku dari rasa takut. Ya Allah, peliharalah aku dari muka, belakang, kanan, kiri dan atasku. Aku berlindung dengan kebesaranMu, agar aku tidak disambar dari bawahku (oleh ulat atau bumi pecah yang membuat aku jatuh dan lain-lain)". -Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah, lihat Sahih Ibnu Majah 2/332-

Esok adalah hari membuang undi bersempena Pilihan Raya Kampus. Moga yang selayaknya yang meraih kemenangan esok! (^_^) Apa yang lebih penting adalah tanggungjawab yang bakal digalas akan dilaksanakan sebaik mungkin. Agar kebajikan mahasiswa/i dapat dibela. Moga mahasiswa/i bersikap matang!



p/s : Tahniah juga buat dua sahabat dari keluarga pipaq. Kak Nad dan Wadi atas masjid yang bakal didirikan. Terima kasih di atas undangannya. Selamat bercinta sampai syurga~ (^_^)

Jumaat, 22 Januari 2010

menyelusuri bicara dari Maha Pencipta

Sayu~
Sebak~
Pelbagai persoalan menerjah fikiran

Sebuah Anugerah?!!!

Jangan terlalu leka
Taksub dengan nikmat kurniaanNya

Kini wujud rantaian bicara
Bicara dari Yang Maha Pencipta

Usah berputus asa
Kerana ada Rahmat di sebaliknya
Yang tidak diketahui

Teruskanlah
Berserah diri pada Allah
Kerana diri ini mutlak milikNya

Mungkin jua ia suatu tanda
Masa semakin mendekat

Ayuh diri!
Periksa hatimu
Periksa jiwamu
Periksa dirimu



Persiapkan dirimu
Kerana saat bertemuNya semakin dekat
Amat dekat!
Kematian itu pasti!


Powered By Blogger