"Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikian juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" [Ibrahim : 40]

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata "kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" [al-Ankabut :2]



Sahabatku

Selasa, 15 Mac 2011

Bagaimana kita nanti?

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji dan puja buat-Nya Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Memberi cinta dan bahagia buat setiap makhluk-Nya. Selawat dan salam buat yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w.

Alhamdulilah, selamat sudah perjalanan saya dari kampung halaman (^_^). Urusan yang hendak diuruskan telah pun selamat diurus. Moga bahagialah adinda ku di sana, manfaatkan sebaiknya..hihi...

Pada mulanya, entri ini bagai hendak dibiarkan sahaja berlegar di minda. Tapi, bila difikir-fikirkan kembali, mungkin ada juga manfaatnya jika dikongsi disini bersama kalian (^_^). Moga-moga ada manfaat dan tanbih buat diri ini dan kalian yang berziarah.

Jumaat lalu, kita sama-sama dikejutkan dengan berita episod badai Tsunami yang melanda negara matahari terbit. Semasa dalam perjalanan menuju ke terminal 2 Sabtu lepas sempat juga saya bertanyakan pandangan pakcik teksi yang membawa saya ke sana. Dia juga turut gusar..Ya begitulah..walaupun ia bukan berlaku di halaman kita, namun kesedaran turut menyuntik jiwa yang serba alpa ini. Bagaimana kita nanti? Bersediakah kita bertemu-Nya?

Perjalanan diteruskan lagi, menanti bas yang akan membawa ke destinasi. Ku cuba melihat ruangan itu semahunya. Barangkali ini kali yang terakhir ku jejakkan kaki ke sini selaku siswi yang rindukan kampung halaman. Al-maklumlah, sudah 3 minggu berturut-turut pulang. Tambahan pula minggu hadapan terlibat dengan camping bersama-sama teman sekampus tercinta. Dan kemudiannya, sudah mula sibuk dengan peperiksaan akhir. Kemungkinan besar jika ku jejakkan kaki ke ruangan itu lagi di masa depan hanya sekadar ingin ke mydin yang bakal beroperai tak lama lagi. (^_^) Bercampur baur perasaan...semua ini akan jadi kenang-kenangan di masa depan. (^_^)

Jam menunjukkan sekitar 3.30 petang. Abah masih belum sampai. Ada urusan yang perlu disudahkan terlebih dulu. Sementara menunggu abah tiba, suka ku tanya pada diri. "Apa kata Segamat tentang diri ini?"... sambil melihat gelagat mereka yang ada di sekeliling. Lama ku duduk merenung bandar tarbiyah ini dari sudut mata hatiku. Tiba-tiba duduk di sebelahku seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan sekitar 3 tahun. Persepsi pertama, ku menyangkakan mereka pasangan kakak dan adik. Namun, setelah mendengar pekikkan anak kecil tadi yang memanggil wanita tadi mammy barulah ku tahu rupa-rupanya mereka pasangan ibu dan anak...Sebenarnya, ada sesuatu yang ku lihat di sebalik redup pandangan wanita tadi. Dia melihat ke arahku, bagai ingin diluahkan sesuatu. Tetapi, pandangannya yang tajam itu hanya mati di situ. Sepi....

Tiba-tiba, adinda call...ada sesuatu yang mahu di pesannya. Maka, ku bingkas bangun dari tempat duduk tadi dan menjengah ke kedai yang dimaksudkan. Malangnya, sudah tidak beroperasi...sedikit kecewa adindaku di hujung talian sana...Kemudian, ku kembali duduk di tempat tadi. Sedikit terkejut bila wanita tadi tergesa-gesa bangun meninggalkan puterinya sendirian di tempat menunggu bas itu. Cuak juga rasanya, manalah tahu puteri tadi akan di tinggalkan terus di situ! Puterinya terus-terusan memekik memanggil ibunya. Sedikit lega bila melihat wanita tadi cuma mahu ke gerai di seberang jalan sana. Namun ku terkesima bila dia kembali bersama-sama sebatang rokok di bibirnya. Dan, meminta anak kecil tadi bersama-samanya membantu memetik pemetik api buat dirinya! Oh.....(T___T)..

Ku cuba sekali lagi, ku lihat pandangan matanya bagai resah. Dia juga turut memekik-mekik bila bercakap-cakap dengan puterinya. Kasihan ku lihat anak itu, mungkin bagi dirinya memekik-mekik itu biasa...kerana telah dibiasakan begitu. Terfikir seketika, bagaimanakah nantinya? Ku doakan moga-moga puterinya tidak membalas pekikan ibunya itu di hari dewasanya kelak. Ku lihat terus ke mata anak kecil itu. Ia bagai sebiji gelas yang sedang dipegang oleh seseorang yang sangat kehausan. Yang sangat menantikan sebuah kasih dan sayang memenuhi segenap gelas yang kekosongan itu.


Hampir pukul 4 petang, Alhamdulilah abah sudah tiba. Sempat juga singgah sekejap membeli di pasar malam bandar. Angin tiba-tiba kuat! Nyaris-nyaris gerai yang ada di situ di terbangkan angin. Mujur peniaga sempat berpaut pada tiangnya. Kembali teringat nasib yang menimpa mereka yang berada di Jepun.

Tiba saja di rumah, terdengar kecoh dari rumah tetangga. Mak dan adik kata, tadi sebelum aku tiba ke rumah....jiran di hadapan rumahku tergesa-gesa membawa puteranya yang baru berusia 9 bulan ke hospital. Khabarnya agak kecoh, dan ada yang terdengar jiranku itu mengulang beberapa kali memanggil puteranya yang sudah senyap...Belum sempat bercerita panjang, tiba-tiba terlihat saudara mara jiranku sudah memasang payung besar di hadapan rumahnya. Dari Allah kita datang, dan kepada-Nya jua kita kembali. Putera jiranku baru sahaja pergi meninggalkan semua yang menyayanginya demi menyahut cinta Ilahi yang lebih menyayanginya.

Semasa majlis tahlil diadakan, ku lihat wajahnya penuh redha mengiringi pemergian satu-satunya permata hatinya itu. Alhamdulilah, moga dia terus kuat menghadapi kehilangan ini dan moga-moga Allah gantikan sesuatu yang lebih baik buat dirinya di masa depan. Kini, hanya photo-photo kenangan puteranya yang ada...anak itu sebenarnya menghidap jantung berlubang sejak lahir. Keluarganya merancang untuk membawanya menjalani pembedahan pada minggu depan...namun kita cuma manusia yang mampu merancang. Tetapi ketetapan-Nya adalah yang pasti dan yang terbaik buat setiap hamba-Nya.




Jadi, bagaimana kita hari ini? Dan bagaimana pula kita nantinya? Sudahkah kita menghargai setiap insan yang Allah pinjamkan kepada kita? Sudahkah kita laksanakan setiap amanah Ilahi? Sayangkah kita pada setiap apa yang diberi oleh Dia Yang Maha Memberi? Bagaimana kita ekspresi kasih sayang Ilahi buat setiap insan di sekeliling kita? Sesungguhnya, bila tiba hari yang dijanjikan itu...penyesalan sudah tidak mampu mengembalikan ruang dan peluang yang telah dibentang luas oleh-Nya...Seperti yang telah dirakamkan melalui Firman-Nya dari surah 'Abasa :

"Maka apabila datang suara yang memekakkan, pada hari itu manusia lari dari saudaranya, dan dari ibu bapanya, dan dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya. Pada hari itu ada wajah-wajah yang berseri-berseri, tertawa dan gembira ria, dan pada hari itu ada (pula) wajah-wajah yang tertutup debu (suram), tertutup oleh kegelapan (ditimpa kehinaan dan kesusahan)" [surah 'Abasa : 33-41]


Mari kita penuhi rasa dengan keinsafan, marilah kita sama-sama kembali kepada cinta-Nya. Sesungguhnya hari kiamat itu benar, dan akan menemui manusia. Peringatan demi peringatan Allah sampaikan buat semua makhluk-Nya. Semailah kasih sayang seeratnya demi cinta kita pada-Nya. Hargailah semua pinjaman dari-Nya buat kita. Moga saat di ambil kembali pinjaman itu kelak oleh Dia Yang Maha Memiliki, telah kita laksanakan amanah itu dengan sebaik mungkin. Perlindungan Allah adalah sebaik-baik perlindungan...Allahuakbar.

Tiada ulasan: