"Wahai Tuhanku, jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikian juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku" [Ibrahim : 40]

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata "kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" [al-Ankabut :2]



Sahabatku

Daisypath Happy Birthday tickers
Daisypath Anniversary tickers

Sabtu, 28 Disember 2013

Suatu Rahsia

15 Disember 2013 M
Langkah baru
Buku baru bab satu
Rona oren menghias halaman


21 Disember 2013 M
Watak ungu muncul melulu
Beredar helaian naskah yang lama
Bertanya mereka termangu-mangu
Terpaku melihat sebaris nama
 
Untungnya aku 
Telahku penuhi ruang dan waktu
15 purnama setia menguatkan hatiku
Tersenyum aku menghurai tumpu

27 Disember 2013 M
Buku baru bab satu
Helaian baru
Rona oren membangkit rasa 

Tatkala berserah pada Yang Kuasa
Terungkai pula suatu rahsia
 Menyuntik insaf di dalam jiwa
Bahawa Allah sentiasa Memerhatikan kita

Subhanallah!



Rabu, 25 Disember 2013

Kini aku

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum w.b.t
Tidakku pasti masih ada yang sudi berkongsi rasa di sini.

Untuk kesekian kalinya...

Aku seperti terdampar. Oh, atau lebih tepatnya sengaja membiarkan diri terdampar di suatu sudut pantai hati. Luas, mencari-cari diri.

Aku cuma aku tatkala rasa itu meresap dan menipu.
Aku cuma aku saat ku percaya kisah dongeng itu menjadi satu.
Aku cuma tinggal aku apabila hari demi hari aku mula merasai bahawa ia cuma angan impi.
Aku cuma kekal disini mendamparkan diri bila aku sedar ia kekal sebagai mimpi.

Ada saja 'kapal-kapal gah' yang berhenti ingin membawaku pergi jauh dari sayu dihati.
Aku kian membisu, membatu.
Tiada lagi harapan yang perluku lakar pada awan itu.
Yang aku tahu pada satu waktu bahawa aku perlu bangun dan berjalan di sepanjang pantai hati ini bertanya-tanyakan isi hati sendiri.

Ya, sehinggakan pada beberapa waktu terpaksaku berlari dengan laju.
Agar airmata ini tidak sempat menitis ke pipi.
Biar ia terbang pergi.
Allah, hanya pada-Mu hamba menyerahkan diri.


Alhamdulillah, Allah hadirkan dia.
Mengapa aku memilih untuk berlayar dengannya?
Tiada jawapan pasti.
Apa yang pasti, aku ingin menemui Allah dengan tenang dan sejahtera.
Hati ini memohon harap pada-Nya agar kami dapat bersatu dalam redha-Nya.
Lantas dengannya jua ku berpimpin di Jannah.
Meski ia bukan mudah.
Namun satu ku tahu bahawa mujahadah itu pahit kerna syurga itu manis. 

Isnin, 30 Julai 2012

5 Bulan Interim

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulilah, syukur ke hadrat Ilahi, masih diberi peluang sekali lagi oleh-Nya untuk bersua dengan bulan indah ini. Ramadhan yang mulia. Sudah begitu lama tak di update blog ini. Selalu singgah, tapi entah ke mana semangat update. Alhamdulilah, setelah berlalu beberapa purnama yang amat genting ini dapat juga memberi khabar pada kalian ^_^.

Teringat pada bulan Januari yang lalu, sahabat baikku mengatakan ada tawaran mengajar (interim) untuknya dan beberapa sahabat terpilih yang lain. Hati sudah pasrah, mungkin bukan rezeki ku untuk berkhidmat sebagai guru interim. Akan ku teruskan khidmatku sebagai guru ganti. Lebih kurang begitulah monolog hati. Tanpa di sangka-sangka pada hari Isnin (9 Januari) kejutan dari-Nya membawa ku ke sebuah sekolah. Berkhidmat di sana sebagai guru Pendidikan Islam berstatus interim. Syukur Alhamdulilah.

Masih segar dalam ingatan, meredah ke sekolah itu menaiki teksi. Sekolahnya indah dan damai. Lokasi atas bukit yang mendamaikan. SMK Buloh Kasap tempat berbakti. Alhamdulillah, permulaan langkah yang begitu berhati-hati dan ku susun rapi membuahkan ukhwah yang sangat indah. Jujur aku jatuh cinta dengan pekerjaan ini. Walau ada saja kerenah anak-anak didik yang menagih perhatian dan kematanganku dalam bertindak. Jujur aku jatuh cinta. 

Kontrak kami berakhir pada bulan Mac. Salam perpisahan telah dihulur. Namun, sekali lagi kejutan dari-Nya buatku dan sahabat interim tercinta Siti Azizah. Kontrak kami dilanjutkan sehingga ke bulan Disember. Ada dua keadaan yang sukar untuk digambarkan pada ketika itu. Pertama, aku sangat bersyukur kerana masih diberi peluang mencurah bakti dan kasih sayang buat anak-anak didik tercinta. Kedua, persoalan dan tanda tanya semakin ligat berlegar di minda lesu ini. Jika diteruskan kontrak, bilakah posting akan berkunjung tiba? 


Minda lesu ini sedikit tewas dengan fikiran-fikiran negatif. Akhirnya, karat mazmumah itu memakan diri. Allah menguji dengan demam malam yang berlarutan sehingga 2 minggu. Bingung mencari solusi. Sudah 2 kali bertandang ke hospital. Ujian darah dan pelbagai ikhtiar telah dilakukan. Alhamdulilah, akhirnya dengan kasih sayang-Nya, Allah memberi jalan kesembuhan. Bagaimana? Dengan menjernihkan karat mazmumah yang bersarang di minda. Alhamdulilah, minda lesu itu kembali segar dan subur dengan cinta-Nya.

Dua bulan berlalu, kini bulan Mei tiba. Kejutan diberikan oleh-Nya untuk ke sekian kalinya. Keputusan penempatan telah diumumkan. (15 Mei) Aku di postingkan ke Negeri di bawah bayu. Sabah! Ia hadiah Hari Guru yang akan paling ku ingat. Alhamdulilah. Dan, bukan seperti yang dijangka...aku dan sahabat-sahabat akan ke sekolah rendah. Berkahwin atau bujang itu bukan lagi kayu ukur. Keputusan perlu dibuat, perbincangan keluarga dan istikharah segera dilaksanakan!

16 Mei yang amat syahdu. Berjuraian air mata. Memandang wajah rakan-rakan sekerja yang sudah ku anggap seperti adik-kakakku sendiri amat  sukar digambarkan perasaannya. Apatah lagi melihat wajah anak-anak didik yang sangat ku cintai. Mereka sangat ku sayangi. Lillahi taala.

Setelah meminta izin dan redha dari mak dan abah, serta berkat keyakinan yang Allah kirimkan telah membawaku terbang ke awan biru buat kali pertama. Dan di sepanjang perjalanan dan penerbangan yang panjang itu (2 jam membawa kepada 7 jam penerbangan) sentiasa terulang doa yang ku lazimi semasa menunggu posting di dalam minda.

 "Ya Tuhanku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkahi, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat" [al-Mu'minun: 29]

Di dalam hati, aku yakin bahawa Allah sedang memberi yang terbaik. Walau terpaksa ku tinggalkan insan-insan yang ku cinta di sana. Demi mencari redha-Nya, di siniku teruskan perjuangan sebuah kehidupan yang sementara.

Bersambung pada entri akan datang.....hehe. Nak tidur dulu. Esok sekolah! ^__^


Selasa, 20 Disember 2011

Pimpinan-Mu yang ku dambakan

Assalamualaikum w.b.t.

Segala puji selayaknya hanya untuk Allah. Subhanallah. Terima kasih Ya Allah, kerana hadirkan cinta-Mu di segenap hati. Bantu hamba, lindungi hamba ini Ya Rabb. Terlalu takutku tergelincir dari jalan-Mu. Pimpinlah hamba agar ISTIQAMAH menyusuri jalan menuju-Mu dengan penuh berhati-hati.

***Seindah Mutiara***

Nurul Iman terpesona membaca sirah-sirah wanita terbilang. Kisah Asiah isteri Firaun yang amat teguh mempertahankan imannya sangat memberi motivasi untuk dirinya. Begitu juga kisah kecekalan Siti Hajar yang amat menakjubkan. Begitu juga kisah bonda-bonda kita, Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah dan bonda-bonda yang lain. Nurul Iman tidak henti-henti memuji Allah. Nurul Iman berbisik di dalam hatinya. Ingin ku menjadi pencinta-Mu yang setia seperti mereka.

Menurut al-Quran dari surah an-Nisa ayat 34, perempuan-perempuan yang saleh adalah mereka yang Qanitah dan Hafizah.

"Maka perempuan-perempuan yang saleh, adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada, kerana Allah telah menjaga (mereka)" [an-Nisa : 34]

Nurul Iman sangat berbahagia setiap kali membaca dan menghayati al-Quran di tangannya itu. Tenang jiwanya, terarah matlamat hidupnya. Kerana dia sedar, walau dalam suka mahupun duka Allah sentiasa ada bersama. Walau sebanyak manapun dia kehilangan perkara-perkara atau insan yang disayangi dari sisi, Nurul Iman masih mampu bangun dari terus bersedih kerana cinta Allah sentiasa membuatkan dia kembali bersemangat meneruskan perjuangan kehidupan. 

Muhasabah diri membuatkan dia sedar bahawa dia cuma hamba-Nya. Dia merenung salah satu dari hadith Rasulullah s.a.w yang turut dimuatkan oleh Imam Nawawi di dalam karyanya (Hadith 40). Hadith tersebut merupakan hadith yang ke 27 berkenaan 'Kebaikan dan Dosa'.

Daripada Nawas bin Sim'an ra. meriwayatkan daripada Nabi s.a.w Baginda bersabda : Maksudnya : "Kebaikan adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang mengusik jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya". [Riwayat Ahmad 4/228, al-Bukhari dalam al-Adab no.295 dan Muslim no.2553]

Nurul Iman menangis teresak-esak terkenangkan dosa-dosanya yang banyak. Dia cuba memperbaiki dirinya. Berusaha semaksimum mungkin. Dia sedar mungkin dia akan kehilangan kesayangan-kesayangannya di masa lalu demi meraih cinta Allah. Kerana Nurul Iman percaya bahawa Allah akan menggantikan ia dengan kesayangan-kesayangan yang lebih baik dan diredhai-Nya. Nurul Iman bahagia kerana hatinya cuma mahukan pimpinan Allah untuk menyelamatkannya dari menzalimi diri. Dan Nurul Iman mahu membuktikan apa yang ada di dalam hatinya  itu bukan dusta, maka percakapan dan perbuatannya juga perlu taat pada Allah. Insyaallah. Inni Akhafullah! 





Ahad, 18 Disember 2011

Jangan kau curi hatiku

Mengejar, laju
Berhenti, terperosok di sudut sana
Lelap yang hanya mahu mengelak dari mengungkap
Pabila letih, beralah akhirnya

Kembali mengatur duduk
Pakaian compang camping, fikiran kusut
Paksa menghirup tenang
Ah, sesak yang mencekik jiwa!!!

Bangun, menyuci diri
Berwuduk
Melangkah penuh tawaduk
Menghadap Pencipta
Satu per satu, penuh tertib


Merintih dengan penuh pengharapan
Ya Allah Tolong hamba~
Ya Allah Tolong hamba~
Ya Allah Tolong hamba~
Jangan biar daku kehilangan-Mu
Daku rela kehilangan yang lain
Sesungguhnya hanya Allah yang mampu mencukupi keperluanku

Aku cuma hamba Allah
Diriku milik-Nya
Tubuhku pinjaman dari-Nya
Jiwaku hanya mahukan cinta-Nya
Jalan yang jauh ini ku teruskan hanya menuju-Nya
Aku hanya ingin bertemu-Nya

Jangan rebut dariku
Jangan rampas dariku
Jangan kau curi hatiku
Jangan kau janji ingin setia bersamaku
Jangan! Jangan! Jangan wahai dunia!



Rabu, 14 Disember 2011

Serulah dirimu juga

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji dan puja hanya pada Allah. Subhanallah.

Selawat dan salam buat pemimpin ummat yang dirindui, Nabi Muhammad s.a.w

Alhamdulillah, jantung masih berdegup. Nadi masih lagi berdenyut. Apa khabar iman? Subur? Apa khabar sabar? Masih bertahan? Bagaimana dengan ibadah? Masih istiqamah? Ya Rahman, Ya Rahim. Tetapkanlah iman kami pada jalan-Mu. Himpunkanlah kami dalam kebaikan duniawi dan ukhrawi. Berikanlah petunjuk-Mu, cinta-Mu. Amin.

Alhamdulillah, ketenangan kembali mengisi. Moga musimnya berpanjangan. Amin.

Sangat gerun membaca Riyadhus Salihin pada halaman 125. Terdapat sepotong hadith dan beberapa petikan dari ayat al-Quran.

"Mengapa kamu menyuruh orang lain (untuk mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab, apakah kamu tidak berfikir?". [al-Baqarah:44]

Dan dalam ayat lain, dari surah ash-Shaff Allah menyatakan kebencian-Nya terhadap golongan ini.

"Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan".[ash-Shaff:2-3]


Golongan ini merupakan golongan manusia yang mengajak manusia lain mengamalkan amar ma'ruf nahi mungkar, tetapi tidak melaksanakan seperti apa yang diserukan kepada orang lain. Berkata-kata tetapi tidak dikota T__T

Manakala hadith yang menerangkan keadaan golongan ini adalah,

Dari Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Haritsah ra. berkata: "Saya mendengar Rasullullah s.aw bersabda: " Nanti pada hari kiamat ada seseorang yang didatangkan kemudiaan dilemparkan ke dalam neraka maka keluarlah usus perutnya dan berputar-putar di dalam neraka sebagaimana berputarnya keldai yang sedang berada dalam penggilingan, lantas para penghuni neraka berkumpul seraya berkata: "Wahai Fulan, kenapa kamu seperti itu? Bukankah kamu dulu menyuruh untuk berbuat baik dan melarang dari berbuat mungkar? Ia menjawab: "Benar, saya dulu menyuruh untuk berbuat baik tetapi saya sendiri tidak mengerjakannya; dan saya melarang dari perbuatan mungkar tetapi saya sendiri malah melakukannya". [Riwayat Bukhari dan Muslim].


Sesungguhnya, Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Tetapi hamba-hamba-Nya lah yang menzalimi diri sendiri T___T

Ya Allah, Yang Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata, wahai Tuhan Pencipta langit dan bumi, Tuhan segala sesuatu dan yang merajainya. Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang hak kecuali Engkau. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan diriku, syaitan dan balatenteranya, dan aku (berlindung kepada-Mu) dari berbuat kejelekan terhadap diriku atau menyeretnya kepada seorang Muslim". [Riwayat al-Tirmizi dan Abu Dawud]


Amin.

Jumaat, 9 Disember 2011

Setia

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji hanya untuk Allah. Subhanallah.

Selawat dan salam buat Baginda Nabi Muhammad s.a.w

Salam kasih dan salam sayang buat semua yang menyayangi saya kerana Allah. Saya selalu mohon dalam butir doa saya pada-Nya agar Allah menyayangi mereka yang menyayangi saya kerana-Nya dan saya juga mohon agar saya juga menyayangi mereka hanya kerana Allah.

Sejak kebelakangan ini saya kerap sakit. Barangkali kerana cuai menjaga kesihatan, atau kerana terlalu memikirkan perkara-perkara yang masih belum mampu saya selesaikan. Astaghfirullah, lalainya saya. Walhal, sebaik-baik perancang hanyalah Allah Taala. T__T

Dan, dalam lingkungan beberapa hari kebelakangan ini saya juga asyik teringatkan peristiwa-peristiwa lama. Beberapa minggu lepas, saya menyelongkar kotak-kotak buku. Dan secara tidak sengaja, terbaca diari-diari lama saya. Bila saya baca helaian demi helaian barulah saya sedar yang saya ini seorang yang pelupa. Kadang-kadang, ada banyak peristiwa yang langsung saya tidak ingat. Begitu juga dengan mengingati seseorang. Kerap kali saya seakan tidak pernah jumpa seseorang, padahal bila diselidiki rupa-rupanya orang itu pernah belajar sekelas dengan saya.

Tak dapat dinafikan, salah satu sebab mengapa saya masih lagi aktif menulis di Wardah Faqihah ini adalah kerana saya tidak mahu melupakan peristiwa-peristiwa atau insiden-insiden penting dalam hidup saya begitu sahaja. Saya terbayang, bagaimana nanti jika saya lupa pada mereka yang sangat saya cinta dan sayang kerana Allah. Na'uzubillah. Moga Allah jauhkan ia berlaku.

Dan antara sebab lain saya masih lagi SETIA di Wardah Faqihah adalah kerana ingin menghargai insan-insan yang saya cinta kerana Allah melalui penulisan.

Tiba-tiba teringat pertanyaan mak beberapa waktu yang lalu. "Kenapa kakak banyak sangat buku?" Jawab saya, kerana saya suka membaca. Hari ini, baru saya sedar mengapa saya suka membaca. Kerana saya selalu lupa. *Sebak.

Subhanallah, Allah itu Maha Penyayang dan Maha Bijaksana. Al-Quran juga terzahir dalam bentuk kitab yang boleh dibaca. Untuk mereka yang diizinkan-Nya untuk menghafal, ayat al-Quran sudah sebati dalam hafalan mereka. Tapi, buat saya yang punyai keistimewaan yang berbeza, Allah masih izinkan saya membaca kalam-kalam-Nya. Terima kasih Allah. *Sebak.

Saya juga manusia. Jadi, saya juga ada salah dan silap sama ada sengaja mahupun tidak sengaja. Jadi, untuk sesiapa yang mengenali saya sama ada dengan nama sebenar mahupun yang hanya mengenali saya dengan nama Wardah Faqihah ada satu perkara ingin saya nyatakan dari hati untuk kalian. Saya ingin memohon maaf andai saya pernah mengguris hati anda. Jika anda masih sayang saya kerana Allah, saya minta kata nasihat dari anda.

Andai satu masa nanti saya sudah tidak lagi mengenali anda (terutamanya yang mengenali saya dengan nama sebenar), saya pinta janganlah membenci atau menjauhi saya. Dekatilah saya dan katakan anda pernah hadir dalam hidup saya.



Untuk seseorang yang saya masih ingat namanya. Saya ingin menyatakan sesuatu. Melihat kamu, mengingatkan saya pada Allah. Mengenali kamu, seakan saya menyayangi diri sendiri. Bukan matlamat saya untuk memiliki, kerana saya sedar kekurangan diri. Tetapi saya mohon agar Allah menyayangi kamu. kerana itu lebih membahagiakanmu.

Rabu, 7 Disember 2011

Gelora di hati

Matanya memandang ke luar jendela rumah. Terlihat sebuah motosikal usang yang masih elok dan terjaga. Semangatnya kembali membuak. Aku mahu kotakan janji yang ku kata pada diri. Aku mahu belikan sebuah kereta untuk Ayah. Insyaallah, moga Allah memudahkan urusanku. Tiba-tiba Tasnem sebak, air matanya tidak mampu ditahan.

"Tasnem, kamu masih ingat waktu dulu-dulu kamu akan duduk di hadapan. Adik Tariq akan duduk antara Ayah dan Ibu. Kamu masih ingat Tasnem?" Berderai tawa kakak saudaranya itu.

Insiden sebegitu bukanlah asing bagi Tasnem. Setiap kali ada undangan majlis kenduri di kampung, dia terpaksa menumpang kereta pakcik-pakciknya. Jika diikutkan hatinya yang akan terguris dengan kata-kata sindiran setiap kali pulang ke kampung, mahu saja Tasnem menyorok di rumah dan tidak memenuhi apa-apa undangan dari kampung.

Mengalir lagi mutiara jernih itu di pipi Tasnem. Terkenang pula peristiwa ketika dia mahu membawa pulang barang-barangnya dari asrama 12 tahun lepas. Ayah dengan berhati-hati menyusun atur beg dan barang-barang Tasnem di bakul motorsikalnya. Dan sekali lagi dengan penuh cermat Ayah menunggang motorsikal itu menuju ke rumah. Di pertengahan jalan, ada sesuatu yang menghalang. Berterabur beberapa barangan Tasnem di jalan. Air mata Tasnem mengalir lagi. Hatinya berbisik sendiri. Kasihan Ayah.

Pada Tasnem, Ayah tetap hero di hatinya. Meski tidak punya harta yang bertingkat-tingkat, namun Ayah menghantarnya ke sekolah yang baik. Tempat Tasnem mengenal ilmu duniawi dan ukhrawi. Meski tidak punya harta yang menggunung tinggi, namun Ayah menghantarnya belajar hingga ke menara gading. Meski bukan setiap masa tawa terlukis di wajah Ayah, namun kasih sayang Ayah tetap dapat dirasai. Meski Ayah bukan hartawan, namun Ayah seorang dermawan. Ayah Tasnem merupakan seorang penderma darah tetap, jika bekalan darah di hospital sudah berkurangan pihak hospital akan menghubungi Ayah untuk menderma darah. Hatinya berbisik lagi. "Tasnem sayang Ayah! Sayang sangat!".

Namun, gelora di hati hanya mampu disimpan kemas. Dia lebih nekad untuk merealisasikan impian Ayah dan Ibu untuk memperbaiki keadaan rumah mereka yang uzur terlebih dahulu berbanding menyimpan wang untuk peribadinya. Bahagianya andai mampu merealisasikan impian kedua-dua insan tersayang. Padahal, Ayah dan Ibu melarang Tasnem masuk campur urusan kewangan keluarga. Pada mereka, tugas mengurus kewangan keluarga itu di bahu mereka semata-mata.



Ayah dan Ibu Tasnem merupakan dua insan yang sangat cekal dan tabah. Walaupun terdapat segelintir masyarakat yang memandang sinis kesusahan yang dihadapi mereka sekeluarga, namun Ayah dan Ibu Tasnem tetap kuat meneruskan perjuangan demi mencari redha Allah. Namun, masih ramai penghuni masyarakat setempat yang benar-benar mengambil berat keadaan mereka sekeluarga. Moga Allah membalas kebaikan mereka, Insyaallah.

Tasneem, satu nama indah yang meniti di bibir
Dia lemah lembut

Namun hatinya tegas mengatur gerak

Dia sedaya upaya melukis senyuman indah di wajah
Walau hatinya menangis diguris mereka

Selalu Allah memujuk hatinya

Dia kembali ceria

Turquoise warna hatinya

Setenang warna laut, andai tidak dipukul gelombang
murka-Nya










Jumaat, 25 November 2011

Hati-hati menjaga hati


Bertatih mengenal dunia
Hati-hati!
Jangan pula terjerumus sekali lagi
Terpandang di bahu jalan
Si penghulur harapan ingin meraih tangan

Lekas!
Sedarkan mata hati yang hampir lemas mati

Lihat!
Si penghulur harapan itu sebenarnya sedang rapuh
Andai tanganmu menyambutnya, maka kamu lebih rapuh!
Lekas! Bangkit dari mimpi duniawi!
Bergantung harap hanya kepada-Nya! Pemilik dunia...
Allahuakbar!

Di mana Allah di hatimu wahai pencinta?
Jangan rakus meratah bisikan-bisikan murahan sang syaitan durjana!

Kembalikan tenang di jiwa dengan hati yang penuh rasa kehambaan pada-Nya
Kembali senyum wahai cinta, bukan benci tapi kerana terlalu ingin bersama sampai syurga-Nya ^__^

*Nota ini buat sang pencinta Allah
*Hati-hati menjaga hati ^__^

Isnin, 14 November 2011

Jalan bahagia atau derita?

Assalamualaikum w.b.t

Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah Allahuakbar!

Selawat dan salam buat kecintaan kita Nabi Muhammad s.a.w

Alhamdulillah, Allah masih beri peluang dan ruang buat diri dan anda untuk meneruskan mujahadah kita menuju redha Allah. Sungguh Maha Penyayang, terima kasih Allah.

Menyelam kembali

Perasaan digigit rasa bersalah kerana tidak lagi istiqamah mengajak diri dan anda dengan coretan-coretan berguna di blog ini. Entah kemana ia menghilang. Mungkin ia sempat tenggelam. Namun, ku cuba gagahi menyelam kembali demi menyelamatkan ia dari terus-terusan tenggelam lantas terkubur tanpa nisan.



Hakikatnya, diri mengakui aku bukanlah yang paling baik untuk menyatakan kebaikan atau mengajak ke arah kebaikan. Namun, jika ditunggu saat diri benar-benar (100%) baik kemudian baru hendak mengajak kepada kebaikan kebarangkalian itu hampir mustahil! Benar, bahawa manusia seperti aku masih juga menampal kelompangan wadah diri dengan ilmu. Menampal yang ini, ternampak pula yang itu. Masih sedang menampal yang itu, baru tersedar di sana juga masih ketara lompangan yang besar. Bergegas menampal yang di sana terkesima diri. Rupa-rupanya mata hati baru tercelik dari lamunan, tatkala dibuka luas-luas 'mata' itu YANG INI JUGA MASIH BELUM MAMPU DI TAMPAL! Mujahadah itu perlu sentiasa! Berterusan tanpa henti!

"Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak Kami, sesungguhnya Kami pimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah beserta orang yang berusaha membaiki amalannya" [Surah al-Ankabut : 69]

Jalan bahagia atau derita? Pilihlah!

Allah telah menegaskan kepada makhluk-Nya menerusi kalam cinta agung milik-Nya. al-Quran.

"....kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, maka sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara" [Surah Taha : 123]


"Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: 'Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?' Allah berfirman: 'Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan." [Surah Taha : 124-126]


Resah dan risau?

Maka, berhentilah menjadi manusia yang resah dan risau tentang kesibukkan urusan duniawi. Tapi berubahlah kepada satu tahap yang mampu menjadikan diri seorang insan yang resah dan risau kerana tewas dengan kesibukkan urusan duniawi lalu gagal membina diri untuk sibuk dengan urusan ukhrawi! Berubahlah! Berhijrahlah!

Oleh itu, tinggi hasratku untuk mengajak jiwa dan jasad ini bersama-sama anda untuk bersegera mengambil tindakan! Jangan sekali-kali menjauhi Allah. Jangan takut untuk melangkah ke syurga-Nya. Andai sedang berhadapan dengan dugaan dan merasakan tiada lagi jalan keluar, ingatlah pada rakaman peristiwa ini.---Peristiwa Nabi Musa a.s dan Firaun----

"dan (kenangkanlah) ketika Kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya" [al-Baqarah : 50]



Buat para pencinta Allah. Sesungguhnya, Allah sentiasa ada buat setiap pencinta-Nya. Allahuakbar!



Sabtu, 12 November 2011

Musim Bunga


Berjanji itu mudah
Bercita-cita itu juga mudah
Berangan-angan itu lebih mudah

Sekadar berkata, tapi tidak pernah beria-ia melaksana?
Sekadar meneka-neka tapi tidak pernah sama-sama merasa susah payahnya?
Sekadar menduga-duga tapi tidak pernah benar-benar berdiskusi tentangnya?
Sekadar berfikir tapi jarang sekali menyulam zikir?

Ya Rahman, tetapkanlah hati-hati kami pada jalan-Mu
Satukanlah kami dalam limpahan kasih sayang-Mu
Tautkanlah kami pada kalam-kalam yang menyeru nama-Mu
Rindukanlah kami pada syurga-Mu
Jauhkanlah kami dari terjebak menjadi sebahagian dari mereka yang fasiq dan munafiq
Himpunkanlah kami dalam kebaikan di dunia dan akhirat
Amin Ya Rabbal 'alamin~

Selasa, 1 November 2011

Belajar dan Mengajar. Mengajar untuk Belajar

Assalamualaikum w.b.t

Selawat dan salam buat kecintaan seluruh ummat, Nabi Muhammad s.a.w

Salam rindu buat semua ^___^ Lama menyepi dari ruangan kesayangan ini hehe. Menunggu saat 1 Nov 2011 untuk mencoretkan sesuatu di sini. Bukan kerana susunan nombor pada tarikh yang cantik. Tapi, kerana hari ini adalah hari tamatnya kontrak mengajar ku di sekolah yang kedua. Alhamdulilah...Akhirnya, berjaya juga mengharunginya ^___^

Nak berkongsi sedikit pengalaman ku di kedua-dua buah sekolah, tempat ku mencurah bakti. Bak kata orang "sharing is caring" ^___^. Jika nak di analisa, ini merupakan sekolah yang kedua dan yang ketiga diri ini bergelar guru secara rasmi. Yang pertama, di sekolah tempatku berpraktikal. ^___^ rindu mereka di sana. Alhamdulillah, masih bersillaturrahim dengan mereka ^___^ Moga kalian di Sepang sana sentiasa dalam limpahan Rahmat, Redha dan Kasih Sayang Allah. Insyaallah.

Pengalaman pertama : Sekolah Rendah ^___^
Sekadar perkongsian. Realitinya, diri ini masih lemah jika berhadapan dengan anak-anak kecik seusia sekolah rendah. Maksudnya, kalau bercakap dengan mereka daku akan menjadi seorang yang tersangat lembut. Sehingga ada yang akan cepat terkecil hati kalau tiba-tiba daku meninggikan sedikit suara. huhu. Yang sebetulnya, perlu ada sikap tegas supaya mereka lebih berdisiplin. TAPI.............DAKU NI TAK SAMPAI HATI ....Rasa macam nak peluk je setiap pelajar yang merajuk tu. Tapi kalau dah manja sangat bila masa pulak lah mereka nak fokus belajar. hehe. Namun, Allah lebih tahu apa yang terbaik buat setiap makhluk-Nya. Jodohku untuk berkhidmat di situ cuma 2 minggu sahaja. Alhamdulillah....Ku lipat kemas pengalaman di sana sebagai nilai tambah buat diri andai punyai anak-anak kecil sendiri ^___^



Tapi, sejujurnya mereka semua sangatlah comel. Bila tak bawa buku, pandai dia menjawab untuk elak kena marah. Nak marah, memang tak jadi sebab comel sangat haha =P..Setiap kali keluar dari pagar sekolah untuk singgah kejap kat rumah nenek, mesti mereka berebut-rebut sambil melambai tangan dan memanggil-manggil 'cikguuuuuuuu' ...haha comel! ^___^. Yang paling lucu ialah bila adik-adik saudaraku asyik tersasul...selalu panggil 'kakak'....tiba-tiba kena panggil cikgu...^___^ Oh ye, lupa plak nak cerita. Kebetulan, sekolah ni adalah sekolah di kampung sendiri. Tiada dalam perancangan, tapi ku yakin setiap apa yang Allah aturkan bukan sia-sia ...pasti ada hikmah ^__^

Pengalaman kedua : Sekolah Menengah ^___^
Alhamdulillah, sepanjang Ramadhan dan awal bulan Syawal Allah beri peluang untuk menghabiskan sepenuh masa hanya di rumah. Teman mak siapkan baju-baju tempahan dan buat persiapan aidilfitri ^__^. Setelah puas bercuti semula di rumah selepas 2 minggu bekerja, takdir-Nya membawa diri ini ke sebuah sekolah menengah berdekatan rumah kami. Pada mulanya, situasi agak menguji kerana perlu berhadapan dengan sebuah kelas Peralihan. Mereka memang teramat nakal. Boleh dikatakan kebanyakkan guru membawa rotan ke kelas. Tapi ku pujuk-pujuk hati dan ku yakini diri bahawa ada cara yang lebih berhikmah untuk mengatasi mereka. Alhamdullilah, aku tidak pernah membawa rotan sepanjang mengajar di sana. Akhirnya, para pelajar yang nakal bertukar perangai. ^___^ Walaupun mereka kurang faham dan fasih berbahasa melayu sedangkan daku perlu mengajar matapelajaran bahasa kepada mereka, namun ku lihat akhirnya mereka yakin untuk mengikuti sesi P&P dengan lebih rela. ^__^

[Pada minggu-minggu terawal]
Hamba Allah :"Saya yakin, kamu semua mampu dapat 'A' dalam subjek ini. Dengan syarat, kamu perlu fokus dan jangan banyak bermain ketika belajar"
Mereka :'A'? (sambil menyebut seakan-akan huruf E) 'A' for Elephant ke cikgu? (jawab mereka sambil ketawa berdekah-dekah)
Hamba Allah : Eh, bukan Elephant. 'A' for Apple. Tersenyum.
dan
[Pada minggu-minggu terakhir]
Hamba Allah : "Seperti yang saya pernah beritahu kamu semua sebelum ini. Kamu semua sebenarnya mampu untuk dapat 'A' dalam subjek ini. Yang penting, perlu lebih banyakkan ulangkaji dan latihan''
Mereka: 'A' for Apple! (penuh semangat)
Hamba Allah: Tersenyum.

Dan, selain kelas-kelas wajib (seperti yang tertera dalam jadual guru) diri ini diberi peluang juga untuk masuk ke kelas-kelas lain demi menampung kekosongan guru yang perlu bertugas di luar kawasan atau terpaksa bercuti sakit. Alhamdulillah, seronok dapat bertemu mereka semua. Kerana secara tidak langsung dapat melestari dakwah Islamiyah bersama-sama mereka. Antara yang lucu bersama-sama mereka ialah pabila anak-anak didik di tingkatan 5 memanggil diri ini Ummi ^___^. Terasa terlebih dewasa pulak tiba-tiba hehe. Mana tidaknya, mereka sebenarnya masih berumur sekitar adik-adik buatku ^__^.

Alhamdulillah....segalanya telah ditentukan Allah ^__^. Secara peribadi, aku menganggap profesion perguruan ini adalah medan untuk buat check and balance. Kerana sebagai hamba Allah, persoalan-persoalan yang diajukan oleh anak didik mampu membuka mata hati untuk terus menerus mencari dan menimba ilmu-Nya. Setiap hari belajar dari pelajar. Setiap hari mengajar untuk pelajar. Setiap hari mengajar untuk belajar. ^___^ (kesan sampingan, bila musim gaji bermula maka aktiviti memborong buku dan kitab semakin berleluasa ^__^)




Dan, sekarang....1 Nov 2011..diri ini bersama sahabat-sahabat seperjuangan yang lain masih setia menanti panggilan untuk penempatan kami. Moga Allah permudahkan perjalanan dan perjuangan kami. Insyaallah. Moga diri ini dan sahabat-sahabat lain dibekalkan bekalan iman dan taqwa kepada-Nya untuk tetap bertahan menempuh liku-liku yang ada dan yang bakal menjengah di hadapan sana. Insyaaalah..Allahuakbar!

Khamis, 20 Oktober 2011

Jalanku Pulang


Tundukku malu didepan-Mu
Kernaku insan berdosa
Kuadukan sesalanku
Apakah kan Kau terima

Kesunyian ini sedarkan diriku yang lena
Tinggalkan semalam yang nanah
Lantas meratap hina kan ku pada sempurna-Mu,
Terpaut aku tak berpaling

Ku bersyukur hanya pada-Mu tuhan
Kau temukan laluan bermula
Dan cinta-Mu bagai air di tandus sahara
Buatku melepaskan dahaga

Suburkan cahaya menerangi langkahku
Semaikan segala kiasan indah cinta-Mu

Ku Bersyukur hanya pada-Mu tuhan
Kau temukan laluan bermula
Dan cinta-Mu bagai air di tandus sahara
Buatku melepaskan dahaga

Ku mohon Kau tenangkan gusar hatiku yang rawan
Bimbang Kau singkirkan taubatku
Kurayu Kau hulurkan keampunan-Mu padaku
Kelakku zalimi diriku

Ku bersyukur hanya pada-Mu tuhan
Kau temukan laluan bermula
Dan cinta-Mu bagai air di tandus sahara
Buatku melepas dahaga

Janjiku pada-Mu abdikan seluruh jiwa
sehingga masanya kau seru hujung nyawaku

Ku bersyukur hanya pada-Mu tuhan
Kau temukan laluan bermula
Dan cintaMu bagai air di tandus sahara
Buatku melepaskan dahaga

Tak temu dimanakah hentinya rayuan taubatku pada-Mu


Ahad, 16 Oktober 2011

Jangan biar hati mati

Ku tahu ia bukan mudah
Perjalanan ini bukan mudah
Tabah, biar rebah jangan mudah mengalah ^___^

Ku tahu untuk berada disamping yang baik di sisi-Nya
Perlu ku sentiasa merasa Dia Yang Maha Penyayang yang paling utama


Ketentuan-Nya sudah ada, menunggu masa dan ketika ianya terjadi
Sabarlah wahai hati
Jangan menanti dengan membiarkan hati mati
Menantilah dengan celik hati
Meneruskan jalan mujahadah dengan penuh berhati-hati

Cinta-Mu untuk semua
Semua~
Allahuakbar!

Rabu, 17 Ogos 2011

Pepohon Hikmah


Di taman yang cukup indah dan menghangatkan jiwa
Taman Ramadhan yang teduh dengan cinta-Nya

Ku mengharap pepohon hikmah yang rendang
Hanya dari-Mu Tuhan

Bantulah hamba
Cintailah hamba
Ya Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang

Jadikanlah hamba seorang yang rela dan sudi
Berkongsi teduh pepohon hikmah

Bantulah hamba
Cintailah hamba

Yang kehilangan





Khamis, 11 Ogos 2011

Ketahuilah

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulilah, sudah bertandang ke 11 ramadhan. Terima kasih Allah. Memberikan ruang dan peluang buat kami memperbaiki diri. Allahuakbar.

Petang ini menyimpan 1001 rasa. Ya Allah, bantulah hamba untuk tetap pada jalan sabar dan tidak sekali-kali berputus asa. Amin.

Ada satu perkara ingin ditanyakan pada yang membaca. Jika seseorang yang kita sayangi, dekat, dan sentiasa kita lindungi melakukan suatu perkara yang mengecewakan...namun, dalam masa yang sama dia telah berusaha bersungguh-sungguh dan berazam untuk mencuba menjadi insan yang lebih baik dari yang sebelumnya. Adakah wajar kita memberi dia peluang dan ruang untuk menjadi yang lebih baik? Atau lebih wajar untuk kita marah dan menambah seksa jiwanya dengan memberikan kata-kata yang menyakitkan?



Ketahuilah, terpaksa mengecewakan hati yang kita sayangi itu sebenarnya lebih menyakitkan dari dikecewakan.

Setiap manusia sebenarnya punya impian dan jangkaan pada insan yang disayangi dan dilindunginya. Namun, kita juga perlu SENTIASA sedar bahawa setiap ketentuan adalah milik-Nya. Perjalanan kita kadangkala diuji-Nya dengan KEJAYAAN malah kadangkala diuji juga dengan KEGAGALAN. Namun, Allah sentiasa memberi peluang dan ruang buat kita untuk BERUSAHA memperbaiki diri. Maka, berilah peluang dan ruang untuk orang yang kita sayang itu BERUSAHA untuk memperbaiki diri. Kerana hakikatnya, dia juga cuma manusia...sama seperti kita.

Buat hati yang telah terluka. Tabahlah, sungguh ini sebenarnya ujian dari-Nya. Jangan sekali-kali memutuskan sillaturrahim dengan insan yang kamu sayangi itu hanya kerana mata hatinya belum terang. Berilah peluang dan ruang untuk dirinya.




Dan....buat seorang hamba Allah.
Umumnya, aku akan pergi jauh atas suluhan dari redup cinta Allah.
Mungkin menghilang.
Menjelang tarikh istimewa itu.

Namun, jika sesuatu yang lebih baik
dari Allah telah tertulis dalam takdir-Nya
Insyallah kau akan berjaya menjejaki ku.

Maaf sekali lagi.
Moga Ramadhan kali ini mampu menjadikan kita
insan yang lebih beriman dan bertaqwa kepada-Nya.
Moga Jannah-Nya menjadi kemenangan buat kita.

Khamis, 7 Julai 2011

"Kelas Pengurusan Emosi"

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji buat Maha Pencipta. Yang Teragung, Yang Maha Pengasih dan Penyayang.
Selawat dan salam buat pemimpin terhebat, Nabi Muhammad s.a.w.

Alhamdulilah, hujan sedang turun. Meredakan kepanasan, menyuntik kesejukkan. Mengundang ketenangan, menyubur harapan. Moga hikmah hujan yang turun mampu dilihat oleh mata hati insan sekalian, ciptaan Ilahi (^_^)

Alhamdulilah, dengan izin-Nya...sejak penghujung bulan Mei aku diberi ruang untuk mengikuti "kelas pengurusan emosi". Pada mulanya, tidak pernah terlintas gelaran ini yang paling membekas dalam sanubari untuk aku coretkan disini sebagai kenang-kenangan.(^_^). Setelah melalui beberapa kelas terawal, perasaan masih rasa ia cuma kelas yang membuatkan semangat ingin ambil tahu tentang matapelajarannya. Namun, dipenghujungnya....kelas ini amat memberi kesan pada pembentukkan sikapku, atau sebetulnya membentuk semula sikapku. Oh, jangan berkerut-kerut muka sambil membaca entri ini ya? hehe.

"Kelas Pengurusan Emosi" ini sebenarnya adalah kelas latihan memandu hehe. Jelas, secara peribadi aku amat terkesan dengan setiap sesi kelas latihan memandu. Mula-mula amat teruja sebab ia perkara baru buat diri ini. Kemudian, pada hari ketiga, keempat dan kelima...terasa amat menekan. Sampai pernah terdetik, tak mahu lagi meneruskan. Tapi, bila ditimbang-timbang semula....ia perlu juga diteruskan.....Akhirnya, pada hari ketujuh aku mengambil keputusan...untuk berterus terang sahaja dengan "cikgu".



"Sebenarnya, saya takut jika buat orang sampai marah". Sambil cuba melindungkan muka dekat pada stereng kereta. =P

"Saya tak marah. Cuma saya akan marah bila orang yang takut-takut". Cikguku membalas dengan nada bersungguh.

Kereta sedang bergerak keluar dari "sekolah". Tiba-tiba aku jadi tak tentu hala semula. Cikgu suruh aku bertenang dahulu sebelum kereta itu aku pandu keluar dari "sekolah".

"Awak kena percaya saya. Awak kena percaya yang cara saya ajar ni betul." Cikgu masih bersungguh, dengan nada yang amat santun (^_^)

"Ok, saya percaya". Sambil mengangkat sebelah tangan. Macam orang baca ikrar tu (^_^)..Sambil tergelak.

Akhirnya, pemanduan yang tidak stress telah dapat dilaksanakan...haha (^_^). Lepas kejadian itu, cikgu sentiasa amat santun. (^_^) (Nampak sangat anak murid dia yang seorang ni manja, tak boleh di terjah sikit! =P)

Dari kelas memandu ni aku dapat belajar banyak perkara selain memandu. Perkara paling besar adalah aku belajar mengenali emosi sendiri. Dan aku sudah kenalpasti dengan lebih teliti sabar ku dimana, santun ku bagaimana, marah ku kenapa, dan yang membahagiakan aku itu apa...(^_^) Alhamdulilah....Syukur pada Allah...

Dan, intipatinya juga akan aku cuba adaptasi dalam membina kerjayaku sebagai guru atau ibu dikemudian hari nanti. Setiap anak/anak murid itu berbeza-beza psikologi, pengetahuan sedia ada dan keperluannya. Maka, sebagai ibu/ guru...aku peru bersabar dalam mendidik....Kerana, didikan yang ikhlas kerana mengharap redha Allah itu ada nilai disisi-Nya. Juga akan amat dihargai oleh anak/anak murid itu sendiri....(^_^). Terima kasih cikgu! Sebab akhirnya cikgu bersabar dengan kerenah anak muridmu yang satu ini (^_^)

Ahad, 26 Jun 2011

Sekali sekala vs Terakhir



Sekali sekala
Ia subjektif

Sehingga terpaksa ku akui

Bahwa seakan sudah kekeringan dakwat menulis kata
Yang tinggal cuma warna-warna

Untukku lukis sebuah cerita, diam tanpa bahasa


Setulus doa pada-Nya
Agar hanya yang terbaik bakal berkunjung tiba

Di setiap langkah kita di dunia dan di akhirat sana

Jelas, aku tidak pinta apa pun

Memadai dengan tersenyum

Tulus dan ikhlas

Yang terbaik itu hanya dari-Nya

Maka, kepada-Nya jua ku serah segala

Kerana aku sudah tiba pada penghujungnya

Selamat Berjuang

Dan selamat meneruskan perjuangan

Hanya untuk-Nya





Jumaat, 17 Jun 2011

Jangan Menyerah Kalah

Assalamualaikum w.b.t

Segala cinta hanya milik-Nya. Jiwa ini, jasad ini, hidup dan matiku hanya untuk Dia. Allahuakbar.
Selawat dan selawat buat Pemimpin tercinta, Nabi Muhammad s.a.w

Jujur, sudah berkali-kali terpaksa membatalkan hasrat untuk update entri baru....Kerana mood agak kurang menentu. Ada satu kisah, bersangkut paut dengan orang-orang tertentu....agak rapat dengan keluarga. Aku tersepit dalam keadaan yang mendesak. Namun, jika aku lebih berhati-hati.... perkara sebegini masih boleh diatasi dengan cara yang lebih baik. Ia amat berkait rapat dengan hal-hal mengenai kejujuran, ketelusan kita dalam menyebar dan mendapatkan ilmu. Sewajarnya, hal-hal bersangkutan dengan ilmu dan dakwah itu perlu mampu mentarbiyah diri sebelum kita mampu menyebarkannya pada yang lain. Persoalannya adalah, keberkatan dan keredhaan-Nya. Bukan markah atau dipandang bijak di mata manusia yang perlu diutamakan. Allah, ampunkanlah hamba-hamba-Mu yang khilaf....pimpinlah kami ke jalan-Mu yang lurus. Hindarkanlah kami dari api neraka. Na'uzubillah.

Ia pengajaran buat diri ini. Moga ia yang pertama dan yang terakhir, aku akan cuba tidak mengulanginya lagi dan menghindar darinya. Moga Allah bimbing hatinya dan hatiku. Amin...

Cerita keduanya, aku sedang menunggu lesen L siap. Sabar menanti....

Cerita ketiga, ada beberapa orang sahabat terdekat bertanya-tanya mengenai borang posting. Jika dirujuk pada senior, waktu sebegini sudah boleh mengisi borang posting. Maka, untuk mencari jawapan yang lebih meyakinkan...aku cuba dapatkan maklumat terkini dari seorang sahabat. Dukacita dimaklumkan, borang posting kami akan dikeluarkan lewat....atas sebab pembekuan sementara. Tak apa, aku masih mampu bertenang....Alhamdulilah....pasti ada hikmah dari-Nya. Dan, buat sahabat-sahabat yang baru sahaja mendirikan rumahtangga dapatlah mereka honeymoon lama sikit..(^_^)

Cerita keempat, cerita ini.....aku agak terpukul. Pagi semalam aku cuba sekali lagi untuk follow up kerja part time yang amat aku nanti-nantikan. Malam sebelumnya, aku tak dapat lelapkan mata. Usai istikharah, aku cuba berlapang dada dan cuba bertenang. Pagi itu, adinda menemani untuk ke destinasi yang dituju buat kali yang ketiga. Agak terpukul dengan jawapan yang diterima, atas sebab yang sama! Pembekuan sementara!

Pulang dari sana, aku banyak termenung. Aku berpuasa hari itu, aku cuba untuk mengawal emosi. Nak menangis, tapi macam keterlaluan. Maka, aku duduk diam-diam depan laptop dan buka cerita ''Ketika Cinta Bertasbih-Ramadhan" yang aku pinjam dari pendrive adik...Ya Allah, terima kasih. Akhirnya, aku mampu mengikhlaskan segala yang berlaku. Sungguh, cerita KCB Ramadhan ini sama saratnya dengan Filem KCB 1 & 2...walaupun aku baru mampu menonton 6 episod awal. Ia sarat dengan tarbiyah hati, sarat dengan ilmu, sarat dengan cinta sesama manusia & cintakan ilmu, sarat dengan segala-galanya tentang cintakan Pencipta.



Jadi, mulai saat ini, aku akan cuba lakukan yang terbaik. Di setiap langkah dalam menghadapi liku-liku di hadapan. Lakukan yang terbaik hanya untuk mencari keredhaan-Nya. Insyallah. Dan, yang memberi rezeki itu adalah Allah s.w.t...dan setiap yang berlaku adalah dengan izin-Nya. Pasti ada ibrah yang bermakna.

Oh, ya....merujuk pada entriku tentang "senarai semak"....sudah banyak perkara yang sudahpun selesai, dengan izin-Nya. (^_^) Alhamdulilah. Dan, sesekali aku terlalu rindukan sahabat-sahabat kampus sekalian. Mengapa ya? Mungkin kerana ukhwah ini manis (^_^). Jaga diri ya sahabatku sayang, moga perlindungan Allah sentiasa menaungi dirimu. Aku sayang kalian kerana-Nya.(^_^) Moga Dia memberi izin agar dapat kita bersua di majlis konvokesyen kita nanti, Insyaallah.

Ingin berkongsi satu lirik yang banyak masejnya (^_^)

Jangan Menyerah

Tak ada manusia
Yang terlahir sempurna
Jangan kau sesali
Segala yang telah terjadi

Kita pasti pernah
Dapatkan cubaan yang berat
Seakan hidup ini
Tak ada ertinya lagi

Syukuri apa yang ada
Hidup adalah anugerah
Tetap jalani hidup ini
Melakukan yang terbaik

Jangan Menyerah
Jangan Menyerah

Tuhan pasti akan menunjukkan
Kebesaran dan Kuasa-Nya
Bagi hamba-Nya yang sabar
Dan tak kenal putus asa

Jangan Menyerah
Jangan Menyerah




Selasa, 7 Jun 2011

Melakar Pelangi


Terkadang menadah hujan
Menyangka esok kan panas berpanjangan
Mungkin tak berkesempatan meneruskan langkah perjalanan
Lantas bergegas
Tidak dihirau walau terlalu lebat hujan yang mencurah

Namun sesekali terasa bagai termangu
Di sebuah gurun pasir yang namanya pun ku tidak tahu
Mahu bertanya, tapi tiada siapa yang lalu di situ
Sendirian meneruskan perjalanan yang berbatu-batu jauhnya. Buntu.

Ku cuba membuka mata hati yang buntu itu.
Sememangnya gurun pasir itu amat sunyi.
Lantas ku dongak, melihat langit yang membiru tenang. Subhanallah.
Allah sentiasa bersama-sama.

Terus ku lakar pelangi 7 warna di ruang hati.
Tidak akan ku berputus asa membuta tuli.
Setiap ketentuan punya hikmah yang tersembunyi.
Bagai sang pelangi yang menari dan mewarnai
Di balik hujan yang membasahi.

Akal manusia cuma mampu mengatakan
Bahawa gurun itu jarang sekali di sapa hujan.
Apatah lagi menghadiahkan si pelangi
Buat sang musafir sepi tanpa teman.

Namun, musafir ini yakin
Bahawa ketentuan-Nya mampu mengatasi segala.

Mampu mengubah gurun jadi indah
Mampu mengubah sang liar menjadi mawar
Mampu mengubah gelap jadi terang
Mampu mengubah sembunyi jadi berani
Mampu mengubah sepi jadi riang
Mampu mengubah jauh jadi dekat
Mampu mengubah mimpi jadi realiti
Mampu mengubah sengketa menjadi cinta
Kerana semua ini milik-Nya
Kerana Dia Yang Maha Pencipta

Subhanallah....
Lindungilah lah kami dari berputus asa
Berkelana di tanah asing ini
Kembalikanlah kami kepada-Mu
Dengan berbekalkan iman dan amal yang diredhai-Mu

Powered By Blogger